amree10/09/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — Stok minyak sawit Malaysia melonjak 7.48% kepada 2.82 juta tan pada Ogos 2026, namun eksport minyak sawit menyusut 7.50% kepada 1.29 juta tan, menunjukkan tekanan terhadap pasaran sawit tempatan apabila pengeluaran terus meningkat.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, stok secara keseluruhan meningkat sebanyak 196,590 tan daripada 2.62 juta tan pada Julai 2026, dengan inventori minyak sawit mentah (MSM) sahaja melonjak kira-kira 15.20% kepada 1.64 juta tan.
Bagaimanapun tambah agensi berkenaan, stok minyak sawit yang diproses pula adalah susut 1.71% kepada hanya sebanyak 1.17 juta tan pada Ogos berbanding 1.19 juta tan pada bulan sebelumnya.
"Dari segi pengeluaran, pengeluaran MSM meningkat kira-kira 1.39% atau 24,903 tan kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026 berbanding 1.79 juta tan pada Julai 2026," jelas MPOB dalam kenyataan.
Pengeluaran isirung sawit turut meningkat 1.97% bulan ke bulan (MoM) kepada 430,599 tan daripada 422,272 tan, manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah naik marginal 0.10% kepada 199,589 tan.
Sementara itu, eksport minyak sawit merosot 7.50% kepada 1.29 juta tan pada Ogos 2026 daripada 1.39 juta tan pada Julai 2026, mencerminkan penyusutan permintaan eksport dalam tempoh berkenaan.

Ujarnya, eksport minyak isirung sawit namun meningkat 37.22% kepada 112,879 tan, manakala eksport hampas isirung sawit didapati berkembang kira-kira 6.45% kepada 216,584 tan.
MPOB turut merekodkan penurunan 12.72% dalam eksport oleokimia kepada 233,545 tan daripada sebanyak 267,576 tan pada Julai 2026, manakala eksport biodiesel naik 22.59% kepada 35,240 tan.
"Bagi import, Malaysia tidak merekodkan sebarang import MSM sepanjang Ogos 2026, manakala import minyak sawit diproses dan minyak sawit masing-masing susut 0.09% kepada 49,524 tan," katanya.
Sebaliknya, import minyak isirung sawit meningkat kira-kira 21.14% kepada 13,985 tan pada Ogos 2026 berbanding hanya sebanyak 11,545 tan pada bulan yang sebelumnya.
Secara keseluruhan, peningkatan stok ketika eksport merosot memberi gambaran pasaran sawit Malaysia berdepan cabaran menyerap pertambahan bekalan, meskipun peningkatan eksport produk berasaskan isirung dan biodiesel memberi sedikit sokongan kepada permintaan. - DagangNews.com






