MPSepang keluar lima notis dalam operasi di Cyberjaya

22 Jul 2026 • 11:02 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MPSepang keluar lima notis dalam operasi di Cyberjaya

SEPANG, 21 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan lima notis kesalahan (NTK) dalam operasi penguatkuasaan terhadap halangan di petak parkir awam dan penjaja tanpa lesen di Glomac Cyberjaya, malam semalam.

Operasi yang dijalankan Unit Malam Zon Utara Jabatan Penguatkuasa itu bertujuan membanteras kesalahan meletakkan barangan perniagaan di kawasan awam serta aktiviti penjajaan tanpa lesen.

MPSepang memaklumkan daripada lima notis yang dikeluarkan, empat membabitkan kesalahan meletakkan barangan berkaitan perniagaan di tempat awam, manakala satu lagi dikenakan terhadap penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Peruntukan 3 Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007.

"Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kawasan awam sentiasa teratur, selamat dan bebas daripada aktiviti yang melanggar undang-undang, selain mengelakkan gangguan kepada pengguna jalan raya dan orang awam," menurut kenyataan MPSepang di Facebook.

Sehubungan itu, pemilik premis dan penjaja diingatkan supaya mematuhi syarat pelesenan serta tidak meletakkan sebarang barangan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran.

MPSepang menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan kawasan pentadbirannya kekal bersih, teratur dan mematuhi peruntukan undang-undang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved