
PETALING JAYA – Ketika ibu bapa calon Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) mempertikaikan tahap kesukaran kertas Bahasa Inggeris, hari ini, ada juga yang ‘kecoh’ mempersoalkan soalan Bahasa Melayu.
Seorang wanita membangkitkan persoalan mengapa murid berusia 10 tahun perlu berfikir mengenai cara mengubah nasib keluarga menerusi salah satu soalan yang diberikan.
“Ibu bapa MPT4 bising fasal kertas BI, tapi tak ada siapa komen tentang soalan BM, ‘Cara mengubah nasib keluarga’ tu ke? Suruh budak 10 tahun berfikir macam tu…,” luah individu berkenaan di media sosial.
Persoalan itu kemudian mendapat perhatian netizen, terutamanya golongan ibu bapa yang turut mempertikaikan soalan berkenaan.
Namun, ada juga yang menyokong, selain turut berkongsikan jawapan diberikan anak masing-masing.
“Umur 10 tahun dah kena pikir urusan keluarga.. patut la bila tak hadir tulis urusan keluarga dekat WhatsApp (grup kelas),” komen seorang pengguna.
“Anak saya jawab, berkebun di belakang rumah Belakang rumah dia tanah pun tak ada,” ujar pengguna lain.
“Ibu-ibu, saya rasa soalan tu okey sahaja. Mungkin tiada yang salah kalau sesuai dengan pemikiran. Kalau murid jawab menjual air ke, jawapan tu jika saya pemeriksa kertas, saya akan terima,” ulas seorang pengguna lagi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, sebahagian guru dan ibu bapa ‘menangis’ apabila mendapati format ujian sebenar MPT4 bagi kertas bahasa Inggeris, hari ini berbeza dengan latihan dan latih tubi.
Keadaan itu sekali gus mencetus kebimbangan jika ia akan menjejaskan keputusan murid serta anak mereka. – KOSMO! ONLINE
The post MPT4: Kecoh soalan BM, ‘cara mengubah nasib keluarga’ appeared first on Kosmo Online.





