MPV dihempap lori: Dua beradik cium jenazah ibu bapa buat kali terakhir

2 Nov 2026 • 11:56 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MPV dihempap lori: Dua beradik cium jenazah ibu bapa buat kali terakhir

BATU PAHAT – Dua beradik yang terselamat dalam nahas melibatkan Perodua Alza dihempap lori membawa muatan tar di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani di sini semalam diberi kesempatan menatap wajah ibu bapa mereka buat kali terakhir.

Lebih meruntun jiwa, kedua-dua kanak-kanak itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang selama ini menjadi tempat mereka bermanja selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas tengah hari tadi.

Muhammad Adam, 8, dan kakaknya, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dibawa turun dari wad menggunakan kerusi roda sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail dengan dibantu dua jururawat.

Kedua-duanya yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu kelihatan tidak dapat menahan kesedihan ketika dibawa menghampiri jenazah ibu bapa mereka, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.

Hasya Fahira dilihat beberapa kali mengucup jenazah kedua-dua ibu bapanya sambil menitiskan air mata sebelum adiknya, Muhammad Adam, turut melakukan perkara sama sebagai penghormatan terakhir.

Detik paling menyayat hati berlaku apabila jenazah pasangan itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik menggunakan van jenazah.

Muhammad Adam dan Hasya Fahira yang masih berada di kerusi roda hanya mampu melambaikan tangan sambil berlinangan air mata, seolah-olah berat untuk melepaskan pemergian insan tersayang.

Malah, dua jururawat yang menemani mereka turut gagal menyembunyikan kesedihan apabila dilihat mengesat air mata menyaksikan detik perpisahan penuh emosi itu.

Dalam pada itu, jenazah Mohd Hardi dan Tengku Syafirana selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Maimon, Parit Sulong pada pukul 11.45 malam semalam.

Sebelum itu, jenazah pasangan berkenaan dibawa ke rumah keluarga mereka di kampung sama untuk disolatkan dengan dihadiri lebih 200 ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap sebuah lori membawa muatan tar yang terbabas dipercayai akibat tayar pecah dalam kejadian di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani.

Dalam kejadian pada pukul 12.24 tengah hari itu, Muhammad Adam dan Hasya Fahira turut mengalami kecederaan termasuk di bahagian kepala serta luka dan melecur pada kaki.

Kedua-dua beradik itu kini masih menerima rawatan di HSNI. – KOSMO! ONLINE

 

The post MPV dihempap lori: Dua beradik cium jenazah ibu bapa buat kali terakhir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved