
KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang wanita yang didakwa menyerang dua kanak-kanak dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata bapa kepada dua kanak-kanak terbabit, berusia 36 tahun, membuat laporan polis pada jam 7.39 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika lelaki itu berjalan bersama dua anaknya yang masing-masing berusia tujuh dan dua tahun.
Seorang wanita yang belum dikenal pasti didakwa menolak anak lelakinya berusia dua tahun dari belakang sehingga terjatuh sebelum memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi 35 saat yang memaparkan pertengkaran antara bapa kanak-kanak terbabit dan seorang wanita tersebar di Threads dan Facebook.
Rakaman berkenaan menunjukkan berlaku pertengkaran dan insiden tolak-menolak serta tamparan, namun punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan menerusi video itu.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai Sakina Zuhairi turut mendakwa rakannya, yang memakai tudung berwarna marun, adalah antara individu yang diserang dalam kejadian berkenaan.
Menurut dakwaannya, mereka sedang berjalan menuju ke sebuah premis makanan di kawasan yang dikenal pasti netizen sebagai Ombak KLCC sebelum seorang wanita berpakaian kuning didakwa menghampiri dan menampar rakannya.
Beliau turut mendakwa wanita terbabit sebelum itu menolak seorang kanak-kanak lelaki yang berada berhampiran bapanya.
Bagaimanapun, dakwaan tambahan yang tular di media sosial itu masih belum disahkan polis.
Ahmad Azwan berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan dan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti keadaan sebenar serta punca insiden.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 2 November 2026






