MR DIY perkasa strategi pemasaran tangani kelemahan sentimen pengguna, kata RHB Research

18/08/2025 - 11:48
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 18 Ogos - MR DIY Group (M) Berhad sedang giat memperkasakan strategi pemasarannya bagi menangani cabaran pertumbuhan jualan kedai dan sentimen pengguna yang lemah, kata RHB Research.
Katanya, walaupun untung bersih 1HFY25 naik 11% kepada RM333 juta namun jualan merekodkan penurunan sebanyak 3%, menunjukkan kesukaran dalam menjana pertumbuhan organik daripada cawangan sedia ada.
Firma penyelidikan itu berkata, ia berpunca daripada perbelanjaan pengguna dalam persekitaran inflasi tinggi serta pembukaan 162 kedai baharu dalam tempoh tersebut.
"Pengurusan MR DIY sedang melaksanakan pelbagai kempen pemasaran strategik untuk menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan keterlibatan pengguna.
"Antara inisiatif utama ialah kempen “Jualan RM2/Eco”, yang telah mendapat sambutan positif dan kini sedang diperluaskan ke seluruh negara. Kempen ini menyasarkan pengguna yang peka terhadap harga dengan menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik," katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, RHB Research berkata, penyertaan kumpulan dalam program bantuan tunai MyKasih dijangka menyokong kehadiran pelanggan dan jualan, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, memandangkan penerima bantuan digalakkan berbelanja di peruncit yang diluluskan seperti MR DIY.
“Walaupun sedar akan trend jualan kedai yang lemah buat masa ini, fokus kumpulan kekal untuk menarik pelanggan melalui promosi bersasar dan memanfaatkan inisiatif kerajaan. Usaha ini, bersama penambahbaikan operasi, akan membantu mengekalkan momentum pertumbuhan kami,” katanya.
Walaupun berdepan tekanan, MR DIY terus menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh, disokong oleh margin keuntungan kasar yang tinggi pada 47.8%, kadar tukaran asing yang menguntungkan, serta skala operasi yang semakin besar.
Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan juga sedang berusaha menyesuaikan jumlah tenaga kerja dan meningkatkan kadar penggunaan automasi gudang, yang dijangka dapat mengurangkan kesan peningkatan kos operasi seperti kenaikan gaji minimum.
Katanya, meskipun berdepan cabaran dalam suasana pasaran yang mencabar, strategi pelbagai MR DIY dilihat sebagai pemacu utama dalam mengekalkan pertumbuhan di tengah landskap runcit Malaysia yang semakin mencabar.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.87 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
