MRCA tawar 100 biasiswa perkasakan tenaga kerja runcit dan francais negara

04/08/2025 - 11:57
Selain pelancaran biasiswa, Makan Malam Gala CNY MRCA 2025 turut menyampaikan bantuan kepada empat rumah kebajikan, baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menawarkan Biasiswa Akademi MRCA 2025 untuk 100 pekerja di syarikat yang bernaung di bawah persatuan itu untuk membangunkan modal insan sektor runcit dan francais di negara ini.
Presiden MRCA, Datuk Dr. Ken Phua berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama strategik Universiti Sunway, Lembaga Peperiksaan London, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Kolej Universiti Antarabangsa INTI.
Beliau berkata, ia terbuka secara eksklusif untuk pekerja sepenuh masa syarikat ahli MRCA yang diperakui oleh rakan kongsi program dan pensijilan yang diiktiraf pihak industri.
"Penerima biasiswa boleh memilih empat bidang utama termasuk Sijil Profesional Mikro dalam Pemasaran Runcit, Sijil Profesional Mikro dalam Pengurusan F&B, Diploma Eksekutif dalam Pengurusan Runcit, dan Diploma Eksekutif dalam Operasi Francais.
"Kesemua program ini direka untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan landskap sektor runcit dan makanan & minuman tempatan.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen MRCA dalam memupuk bakat baharu kerana kami percaya tenaga kerja yang diperkasa dengan kemahiran praktikal dan pensijilan yang diiktiraf akan mendorong pertumbuhan individu serta memperkukuh daya saing tinggi dalam industri," katanya dalam kenyataan.
Pelancaran biasiswa itu dilakukan sempena Makan Malam Gala CNY MRCA 2025 yang berlangsung baru-baru ini dan dana awal biasiswa sebanyak RM348,076 berjaya dikumpul menerusi aktiviti lelongan pada majlis tersebut.
Selain pengumuman program biasiswa, MRCA turut menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada dua pelajar cemerlang iaitu pelajar Ijazah Perubatan dan Pembedahan, Lee Chun Ket (Brayan) dan pelajar Diploma Reka Bentuk Dalaman, Meekesh Rueban A/L Nagayah.
Majlis yang berlangsung sempena Mesyuarat Ahli Dwi-Bulanan MRCA itu juga turut menyaksikan penyerahan cek replika bernilai RM10,000 kepada empat organisasi kebajikan iaitu Rumah Warga Emas Gemilang, Rumah Kasih, Rumah Bakti Datuk Harun dan Hospis Malaysia, masing-masing menerima RM2,500 hasil kutipan daripada acara MRCA Charity Golf 2025 di Bangi Golf Resort yang diadakan sebelum itu.
Majlis berkenaan turut menampilkan pembentangan oleh ahli MRCA serta sesi bersama penceramah jemputan, termasuk Pengarah Kanan Tourism Malaysia dan Ketua Sekretariat Melawat Malaysia 2026, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim. - DagangNews.com
standard

