Jati Tinggi raih kontrak RM31.58 juta kerja kabel bawah tanah di Selangor

30/07/2025 - 11:50
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai – Jati Tinggi Group Bhd meraih kerja subkontrak bernilai RM31.58 juta daripada Pintar Gembira Sdn Bhd (PGSB) bagi pemasangan kabel bawah tanah di Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, skop kerja merangkumi pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah 11 kilovolt beserta aksesori berkaitan, khusus bagi tujuan pembangunan aset.
“Projek tersebut dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 20 bulan.
“Anak syarikat milik penuh, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd, telah menerima surat anugerah (LOA) daripada PGSB bagi pelaksanaan kerja berkenaan,” katanya.
Syarikat itu menjangka kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Dengan anugerah terbaharu ini, Jati Tinggi telah mengumpul nilai kontrak baharu secara kumulatif sebanyak RM370.78 juta sejak Disember 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor utiliti dan kejuruteraan tenaga. - DagangNews.com
standard

