liza10/08/2026 - 14:27 Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MRCB, Ann Wan Tee; Ketua Pegawai Komersial MRCB, Amarjit Chhina; Ketua Pegawai Eksekutif MRCB Builders, Patrick Hwang; Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa & Tenaga TECO, David Kuo; dan Ketua Perniagaan Pusat Data, Stanley Liu di majlis MoU antara kedua pihak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bekerjasama dengan syarikat Taiwan, TECO Electric & Machinery Co Ltd untuk meneroka pembangunan pusat data modular yang bersedia menampung keperluan kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada MRCB untuk menggunakan tanah miliknya bagi pembangunan pusat data secara lebih fleksibel, termasuk menerusi konsep modular yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan kapasiti yang diperlukan.
Menerusi memorandum persefahaman (MoU), kedua-dua pihak akan membangunkan pusat data modular berkenaan sebagai projek perintis bagi menguji keupayaan teknologi TECO dalam keadaan operasi sebenar.
Pusat data itu akan menyokong sistem server yang menggunakan teknologi penyejukan udara dan penyejukan cecair yang membolehkannya memenuhi keperluan operasi pusat data berprestasi tinggi yang semakin banyak digunakan untuk aplikasi AI.
Lebih penting, projek berkenaan akan menjadi tapak ujian untuk menilai daya maju teknologi modular TECO dari sudut teknikal dan komersial. Jika terbukti berkesan, pendekatan sama berpotensi digunakan untuk pembangunan pusat data lain di atas tanah milik MRCB.
MRCB Guna Tanah, TECO Bawa Teknologi
Di bawah kerjasama itu, MRCB selaku pemilik tanah akan menyediakan tapak yang sesuai, khususnya lokasi yang sudah mempunyai peruntukan bekalan elektrik bagi menyokong pembangunan dan operasi pusat data tersebut.
MRCB turut menyelesaikan urusan dengan pihak berkuasa tempatan termasuk permohonan serta kelulusan kawal selia yang diperlukan. Kedua-dua pihak juga akan meneroka model reka bentuk dan bina bagi pelaksanaan pusat data modular berkenaan.
Bagi TECO pula, syarikat itu akan bertanggungjawab terhadap aspek teknikal projek termasuk membekalkan teknologi pusat data modular, perkhidmatan kejuruteraan khusus serta pengurusan operasi.
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim berkata, kerjasama itu mengukuhkan langkah MRCB untuk mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor infrastruktur digital berprestasi tinggi.
Menurutnya, projek modular berkenaan melengkapi rancangan MRCB yang sebelum ini diumumkan untuk membangunkan kemudahan pusat data bersedia AI berkapasiti 65 megawatt (MW), khusus bagi menyokong beban kerja syarikat berskala besar.
“Gabungan teknologi modular TECO dengan kepakaran MRCB dalam pembangunan dan kejuruteraan membolehkan kumpulan memenuhi keperluan pasaran pusat data yang berbeza, selain membuka peluang menjana pendapatan berulang dalam jangka panjang serta memaksimumkan nilai tanah milik kumpulan,” katanya. - DagangNews.com






