MRT2 Mula Beroperasi 16 Mac Ini - Anthony Loke

LocalPolitics
4 Mar 2023 • 9:13 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony Loke berkata taklimat mengenai ujian percubaan operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 menunjukkan perkembangan positif dan kementerian berpuas hati dengan semua ujian yang telah dijalankan - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) akan mula beroperasi pada 16 Mac ini, demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas mesyuarat pascaKabinet bersama MRT Corp, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semalam.

Katanya, taklimat mengenai ujian percubaan operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa 2  menunjukkan perkembangan positif dan kementerian berpuas hati dengan semua ujian yang telah dijalankan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan merasmikan perkhidmatan itu yang bermula jam 3 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Bernama, di sini, malam tadi.

image is not available
Gambar Twitter

Selain itu, beliau juga yakin bahawa inisiatif kerajaan itu mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Berhubung pemberhentian Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas faktor keselamatan, kelmarin, Loke memohon maaf kepada  penumpang yang terjejas dalam insiden berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang amat dikesali dan saya memohon maaf kepada kesemua penumpang yang terjejas. Sememangnya kita sudah ada program naik taraf aerotrain itu seperti yang telah diputuskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya.

Semalam, MAHB memaklumkan perkhidmatan aerotrain dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian tren selepas perkhidmatan itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki menuju ke bangunan utama. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved