Pada minggu lepas kami telah melaporkan tentang kandungan acah yang diperlihatkan MSI berkenaan penawaran kad grafik kolaborasi terbaru mereka, iaitu MSI GeForce RTX 5080 Edisi The Mandalorian and Grogu OC.
Kini, penawaran model kad grafik tersebut telah diperlihatkan secara rasmi, yang mana kita kini tahu bahawa ia adalah berasaskan kad grafik MSI GeForce RTX 5080 GAMING TRIO mereka yang hadir dengan sistem penyejukan TRI FROZR 4 yang menggunakan tiga kipas penyejukan STORMFORCE.

Rekaan grafik The Mandalorian and Grogu dapat diperlihatkan pada bahagian belakang kad grafik ini, dan di bahagian sisinya terdapat plat magnetik dengan rekaan pelbagai watak filem tersebut yang berbeza yang boleh ditukar pengguna.

Selain daripada itu, kad grafik ini juga memperlihatkan braket pemegang kad grafik dalam bentuk watak Grogu untuk memastikan bahagian kaki kad grafik tidak kendur akibat berat penyejuk kad grafik.

Sayangnya, MSI juga mengesahkan bahawa model kad grafik ini akan hadir dengan jumlah terhad 500 buah dan hanya akan dijual di pasaran Eropah sahaja bermula 22 Mei 2026 pada harga yang akan ditetapkan kelak.



