Paparan skrin melengkung untuk PC bukanlah sesuatu yang baru, tetapi untuk golongan gamer, ia sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan pengalaman bermain permainan video kegemaran mereka.
Dan untuk meningkatkan lagi mutu gaming dan tontonan video, MSI telah memperkenalkan paparan skrin MSI MPG 321CURX QD-OLED yang merupakan sebuah paparan skrin melengkung 32 inci yang menggunakan paparan skrin QD-OLED keluaran Samsung yang menjanjikan olahan warna jitu, nilai kecerahan tinggi dan keselesaan penggunaan yang terbaik.

Paparan skrin ini hadir dengan resolusi DQHD 5120×1440 dengan kadar segar semula 240Hz dan menyokong teknologi paparan DisplayHDR True Black 400. Untuk keselesaan tontonan dan penggunaan jangka-masa lama, ia juga hadir dengan nilai lengkungan 1700R.
Dari segi teknologi paparan lain, ia juga hadir dengan sokongan teknologi MSI Pixel Shift, MSI Panel Protect, Static Screen Detection dan MSI OLED Care 2.0. Dari palam input dan output, paparan skrin ini hadir dengan palam USB Type-C dengan sokongan pengecasan 90W yang juga menyokong teknologi DisplayPort-Alt dan palam HDMI 2.1 yang menyokong resolusi tinggi DQHD.
Buat masa ini, MSI belum lagi menetapkan tanda harga untuk paparan ini, dan kami telah menanyakan ke pihak MSI Malaysia sekiranya paparan ini akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan kelak.
