
MAJLIS Sukan Negara (MSN) menepis dakwaan yang mengatakan badan induk itu tidak menghiraukan perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selain menganggap tuduhan tersebut tidak bertanggungjawab.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, MSN mendedahkan, pertemuan sudah pun dibuat bersama pemenang dua pingat Sukan Olimpik itu sebelum ini bagi membincangkan keperluan untuk ke Sukan Olimpik 2028.
MSN berkata, pihaknya tidak pernah mengabaikan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu kerana sentiasa memberikan bantuan, terutamanya dari segi penggunaan fasiliti sukan serta sokongan sains sukan.
“Majlis Sukan Negara sentiasa teguh dengan sokongan kepada Datuk Azizulhasni dan semua perancangan dibuat olehnya, terutamanya langkah persiapan ke arah temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Malah, pihak MSN sudah mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi membincangkan Olympic Pathway melibatkan pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Datuk Azizulhasni,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MSN turut mendedahkan, Azizulhasni juga bersetuju untuk mengumumkan secara bersama berhubung program latihan ke Sukan Olimpik selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China yang bermula 14 hingga 18 Oktober depan.
Justeru, badan induk itu menyuarakan rasa terkejut apabila jurulatih, John Beasley mendakwa tidak ada sebarang perbincangan berhubung perancangan untuk masa depan The Pocket Rocketman.
“Pada pertemuan 13 Ogos, Datuk Azizulhasni bersetuju bahawa pengumuman untuk program latihan beliau ke Sukan Olimpik hanya akan dibuat secara bersama oleh beliau dan MSN selepas Kejohanan Dunia.
“Dakwaan bahawa MSN tidak menghiraukan perancangan Datuk Azizulhasni atau tidak menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini adalah tidak bertanggungjawab kerana sokongan MSN kepada wira berbasikal negara ini sentiasa teguh,” ujar MSN.
The post MSN sangkal dakwaan Azizulhasni appeared first on Kosmo Digital.






