Mungkin masa untuk bercinta belum tiba – Hussain

LocalEntertainment
31 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mungkin masa untuk bercinta belum tiba – Hussain

SEMAKIN hari, nama peserta Big Stage Rocketfuel, Hussain semakin menjadi bualan ramai. Tidak dapat dinafikan, aura peserta yang satu ini agak luar biasa.

Populariti yang sedang diraih Hussain atau nama lengkapnya Hussain Jamilul Hayat, 23, ketika ini mengingatkan semula fenomena yang pernah dicetuskan oleh Mawi ketika dia menjadi peserta Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005.

Gelombang yang hampir sama kini dirasakan buat Hussain. Terasa seakan dejavu. Cuma berbeza era sahaja.
Perkara tersebut turut diakui oleh komposer terkenal Ajai. Menurutnya, Hussain mengingatkannya kepada Mawi yang pernah mengegarkan industri hiburan tanah air dua dekad lalu.

Kini apa sahaja yang dilakukan oleh Hussain akan menjadi perhatian ramai. Apa yang dia pakai, apa yang dia cakap, apa yang dikritik tentangnya semuanya menjadi topik hangat netizen khususnya peminat Hussain.

Baru-baru ini juga ada gosip mengatakan bahawa anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat itu sudah mempunyai insan istimewa yang bertakhta di hati.

Perkara tersebut membuatkan ada segelintir peminat yang tidak senang duduk.

Namun menerusi hantaran dalam media sosial, Hussain menjelaskan dia belum bersedia untuk bercinta.

“Buat masa sekarang, saya pilih untuk fokus pada famili dan kerjaya dulu. Mungkin masa untuk bercinta belum tiba, dan saya okey dengan itu. Sayang peminat saya,” tulisnya.

Kenyataan bekas peserta Talk To My Manager musim kedua itu mendapat sokongan ramai peminatnya.

Menurut mereka, pada usia yang masih muda, Hussain seharusnya fokus dalam membina kerjaya sebagai penyanyi berjaya di Malaysia.

“Fokus pada kerjaya dulu ya Hussain. Banggakan mak ayah dulu. Awaklah satu-satunya anak harapan mak ayah sekarang. Teruskan merendah diri.

“Kami nak tengok Hussain terbang tinggi lagi. Nak tengok awak ‘show’ sana sini, masuk Anugerah Juara Lagu, menang vokal terbaik dan segala yang baik-baiklah untuk Hussain dan famili,” komen netizen.

Biarpun program Big Stage Rocketfuel belum tamat, tetapi Hussain dilihat sudah mula mendapat undangan membuat persembahan dan menjadi pilihan syarikat besar antaranya Mydin.

Nampaknya laluan Hussain untuk menyerlah dalam industri hiburan tanah air semakin terbentang luas. Namun Hussain perlu berhati-hati agar tidak tersasar dari landasan sebenar. Semoga Hussain kekal membumi biarpun sinarnya kian gemilang di langit nan tinggi. Dalam perkembangan lain, Hussain kini bakal berentap di pentas suku akhir Big Stage Rocketfuel Ahad ini.

The post Mungkin masa untuk bercinta belum tiba – Hussain appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved