
SEPANG – Seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 malam semalam.
Menurut beliau, terdahulu, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
“Semasa berada di Hospital Putrajaya, mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya pada pukul 8 pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak benar berhubung kejadian tersebut.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vishno Kumar di talian 011-11021528. – KOSMO! ONLINE
The post Murid 7 tahun meninggal dunia sesak nafas dalam kelas appeared first on Kosmo Online.






