GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah berhubung dakwaan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dicederakan seorang guru di sebuah sekolah rendah Cina di daerah Barat Daya, pada 8 September lalu.
Ketua Biro Aduan Awam Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian membabitkan murid berkenaan yang didakwa dipukul guru sehingga mengalami lebam pada bahagian kiri belakang badan dan lengan kiri.
Kata Andrew, pihaknya bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang kesimpulan mengenai pihak yang bersalah atau menentukan sama ada dakwaan berkenaan benar atau sebaliknya kerana perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa berkaitan.
“Apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun didakwa mengalami kecederaan fizikal sehingga meninggalkan kesan lebam susulan kejadian membabitkan guru, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin biasa semata-mata.
“Disiplin memang penting, namun ia mesti dilaksanakan dalam batas yang wajar dan dengan cara bersesuaian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, kanak-kanak sememangnya boleh melakukan kesalahan, nakal atau membuat kesilapan, namun sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk mereka belajar, dibimbing dan membesar dalam persekitaran selamat.
Katanya lagi, guru mempunyai tanggungjawab untuk mendisiplinkan murid tetapi kemarahan, tekanan atau hilang kawalan tidak seharusnya menyebabkan tindakan disiplin bertukar kepada keganasan fizikal.
“Saya tidak mengatakan guru tidak boleh mendisiplinkan murid. Namun, tindakan disiplin tidak sepatutnya menyebabkan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan atau meninggalkan kesan lebam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andrew menegaskan pihaknya tidak bermaksud untuk mengecam golongan guru secara keseluruhan kerana menyedari mereka turut berdepan pelbagai tekanan dalam melaksanakan tugas.
Menurutnya, beban kerja yang tinggi, tanggungjawab pentadbiran, cabaran mengurus bilik darjah serta kekurangan tenaga kerja di sesetengah sekolah antara perkara yang boleh memberi tekanan kepada guru.
“Tekanan yang dihadapi guru adalah realiti tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan kemarahan terhadap murid.
“Sebab itu, Kementerian Pendidikan perlu melihat isu ini secara lebih menyeluruh dan meneliti masalah sistemik yang wujud dalam sistem pendidikan kita,” katanya.
Beliau berkata, kebimbangan berkaitan kes buli, kesihatan mental pelajar, keganasan dan kejadian tragik membabitkan kehilangan nyawa golongan muda sejak kebelakangan ini seharusnya menjadi peringatan supaya langkah pencegahan diperkukuh.
"Pihak berkuasa tidak seharusnya hanya bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya perlu mempertingkatkan usaha pencegahan, intervensi awal serta pengurusan murid," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan untuk memperkenalkan atau memperkukuh latihan berkala kepada guru meliputi pengurusan murid dan bilik darjah, pengurusan kemarahan serta tekanan, pengurusan konflik, perlindungan kanak-kanak dan kaedah disiplin bersesuaian.
Selain itu, kesedaran kesihatan mental serta sokongan kaunseling dan psikologi kepada guru yang berdepan tekanan serius juga perlu diberi perhatian.
“Jika kita mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, kita juga perlu memastikan guru diberikan sokongan, latihan dan sumber yang mencukupi untuk mengurus situasi sukar,” katanya.
Terdahulu, Andrew ke JPN Pulau Pinang bersama ibu bapa murid berkenaan bagi membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ibu bapa murid terbabit mengambil keputusan untuk tidak meneruskan sidang akhbar yang dirancang kerana bimbang anak mereka menjadi mangsa seterusnya, disisihkan atau dikenakan tindakan oleh pihak sekolah susulan keputusan mereka tampil bersuara.
Beliau menghormati kebimbangan berkenaan dan memutuskan untuk tidak mendedahkan identiti murid, guru serta sekolah terbabit bagi melindungi kanak-kanak berkenaan.
“Perkara ini bukan untuk kita menghukum atau mengecam guru secara terbuka, apatah lagi mensensasikan isu.
“Kami tampil kerana seorang ibu bapa telah membangkitkan kebimbangan dan sebagai Biro Aduan Awam, kami percaya kebimbangan itu wajar didengar serta disiasat dengan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya hadir ke JPN Pulau Pinang dengan permintaan yang mudah dan munasabah iaitu supaya siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan secara telus dan adil.
“Kami mahu ibu bapa menerima penjelasan yang jelas mengenai apa sebenarnya berlaku dan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak berkenaan dilindungi sepanjang siasatan.
“Paling penting, kami mahu memastikan kanak-kanak dan keluarganya tidak berdepan sebarang tindakan balas, ugutan atau diskriminasi kerana tampil membuat aduan,” katanya.
Beliau menegaskan kanak-kanak sememangnya perlu didisiplinkan namun pada masa sama mereka mempunyai hak untuk berasa selamat, dihormati dan dilindungi ketika berada di sekolah.
“Kita mahu membina Malaysia yang lebih baik dan ia perlu bermula dengan membina sistem pendidikan yang lebih baik dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai insiden berkenaan.
''Ada (terima laporan), dalam pengetahuan saya,'' katanya.






