
GEORGE TOWN: Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang mahu Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menyiasat kes seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang mendakwa telah dicederakan oleh gurunya di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah Barat Daya, di sini.
Ketuanya, Andrew Ooi berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada 8 September lalu dengan murid terbabit mendakwa mengalami lebam-lebam pada bahagian kiri belakang badan dan lengan kiri.
“Apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mendakwa mengalami lebam fizikal susulan insiden membabitkan guru, maka perkara itu tidak boleh dianggap sekadar isu disiplin biasa. Pihak JPN (Pulau Pinang) perlu menyiasat kebenaran isu ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelas Ooi, guru sememangnya mempunyai tanggungjawab untuk mendisiplinkan murid, namun tindakan berkenaan perlu dilakukan dalam batas sewajarnya dan dengan kaedah yang sesuai, bukannya berbentuk keganasan fizikal akibat kemarahan, tekanan atau hilang kawalan.
“Kanak-kanak ada yang nakal, melakukan kesalahan dan membuat kesilapan. Mereka berada di sekolah untuk belajar, dibimbing serta membesar. Namun, tindakan disiplin tidak sepatutnya menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami kecederaan atau lebam,” katanya.
Mengulas lanjut, Andrew berkata, pihaknya tidak mahu kejadian tersebut dijadikan alasan untuk menghukum atau menyalahkan keseluruhan warga pendidik kerana guru juga berdepan tekanan termasuk beban kerja, tanggungjawab pentadbiran dan cabaran mengurus bilik darjah.
Sebaliknya, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu melihat isu berkenaan dari sudut yang lebih menyeluruh dengan memperkukuh sistem pendidikan, termasuk aspek pencegahan dan intervensi awal.
Sementara itu, Pengarah JPNPP, Mohamad Dziauddin Mat Saad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan telah menerima laporan mengenai insiden berkenaan.
Ya, ada (terima laporan). Ia sedang dalam pengetahuan saya,” ujar beliau, ringkas. – UTUSAN
The post Murid sembilan tahun dakwa dicederakan guru, Gerakan mahu JPNPP siasat appeared first on Utusan Malaysia.






