MuslimPro Menambah Kandungan Langsung Memfokuskan Pembelajaran Quran Dan Bahasa Arab

TechnologyDigital
28 Aug 2024 • 1:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

MuslimPro merupakan salah satu aplikasi memfokuskan gaya hidup muslim, dan digunakan jutaan pengguna seluruh dunia. Terbaru, MuslimPro menambah sejumlah kandungan menarik melalui platform mereka, sekaligus membolehkan pengguna terus menambah ilmu dan lebih mendalami agama lagi.

image is not available

Kandungan baharu ini ditawarkan dalam bentuk kelas interaktif langsung. Siaran langsung diadakan setiap minggu mengikut beberapa kelas berbeza, yang pengguna boleh ikuti melalui MuslimPro terus. Kandungan ini ditawarkan kepada semua secara percuma, walaupun pengguna berkenaan tidak melanggan sebarang pelan MuslimPro.

Antara kandungan yang disediakan adalah termasuk : Pembelajaran bahasa arab komunikasi bersama Ustazah Nada Kamal (setiap Isnin, 10 pagi); Kelas Tafsir Quran bersama Sheikh Mohammad AlNaqwi (setiap Khamis, 5.30 petang), Bacaan surah al-Kahfi (setiap Jumaat, 11 pagi), dan siri Lets Go & Lets God bersama Dr Marwa Assar (setiap Khamis, 9.30 pagi).

Kami di Amanz sendiri berpeluang bertanyakan berkenaan dengan penawaran dan pembelajaran bahasa Arab melalui MuslimPro ini kepada Ustazah Nada Kamal baru-baru ini. Seperti ramai sedia maklum, bahasa Arab merupakan bahasa yang digunakan dalam al-Quran, dan Ustazah Nada berpendapat dengan mempelajari bahasa Arab, ia akan membolehkan pemahaman lebih menyeluruh dan mendalam berkenaan sesuatu penyampaian dalam al-Quran.

Disamping itu, ia juga akan membolehkan pengguna berinteraksi dengan pasaran Timur Tengah lebih mudah, selain turut menggunakannya dalam menyemak pelbagai kajian dunia Arab yang dulunya mendahului dalam arena sains. Kaedah pengajaran yang menarik juga secara tidak langsung menyumbang kepada kemudahan mempelajari bahasa Arab ini dalam kalangan pengguna baharu.

image is not available

Melalui MuslimPro, menjadi fokus utama adalah menggunakan kaedah perbualan harian dalam memudahkan pemahaman bahasa Arab. Ini adalah termasuk menggunakan untuk ucapan, tegur sapa, mengetahui cara sebut hari dan minggu, nama ahli keluarga, dan sebagainya. Dengan menggunakan kaedah ini, ia disasarkan pengguna akan dapat memahami dan menggunakannya lebih kerap – sekaligus membuatkan para pengguna mempelajari bahasa Arab dengan lebih pantas.

Ustazah Nada Kamal merupakan tenaga pengajar di Ulum Al Azhar Academy, dan mempunyai kepakaran dalam mengajar bahasa Arab. Pemilihan beliau dibawah Muslim Pro secara tidak langsung memudahkan lebih ramai dapat dicapai dan belajar bahasa Arab dengan mudah dan interaktif. Kelas Ustazah Nada Kamal melalui MuslimPro dijalankan pada setiap hari Isnin, 10 pagi (waktu Malaysia). Akses ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna seluruh dunia.

Pihak MuslimPro menyatakan mereka akan terus menambah lebih banyak kelas pembelajaran secara atas-talian dalam membantu lebih pemahaman serta mendalami lagi ilmu. Untuk mengakses kandungan langsung ini, pengguna hanya perlu membuka MuslimPro, dan pilih tab “Live”.