
JEMPOL: Barisan Nasional (BN) mahu menjadikan warga Felda sebagai ‘anak emas’ dengan memastikan setiap permasalahan dan keperluan mereka diberi perhatian sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor berkata, kebajikan peneroka dan generasi Felda akan menjadi antara agenda utama yang diperjuangkan kerana masih banyak isu yang memerlukan penyelesaian.
“Memang banyak lagi perkara yang perlu saya perjuangkan untuk Palong. Pertama sekali adalah kita mahu warga Felda ini menjadi anak emas kepada kerajaan negeri.
“Bila kita kata konsep ‘anak emas’ bermaksud kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat, memahami setiap isu yang dihadapi dan berusaha mencari penyelesaian terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyantuni penduduk di sekitar Pasar Tani Keluarga Malaysia, Palong, di sini semalam.
Mustapha yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, warga Felda sebelum ini pernah menjadi anak emas kepada kerajaan Pusat ketika pentadbiran BN khususnya ketika era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk perumahan generasi kedua Felda, masalah kemudahan asas seperti longkang serta peluang ekonomi.
Katanya, isu berkenaan merupakan perkara yang menjadi keperluan warga Felda kerana ia melibatkan kehidupan harian serta masa depan generasi peneroka.
“Sekiranya sesuatu masalah rakyat tidak didengar dan tidak diberikan perhatian, ia akan menyebabkan masyarakat berasa terpinggir.
“Kalau anak yang jauh-jauh ini dengar pun tidak mahu, tanya khabar pun tidak mahu, apa lagi hendak membantu. Sebab itulah kita gunakan istilah anak emas tadi.
“BN mahu memastikan suara warga Felda terus didengari dan segala isu yang dihadapi masyarakat peneroka mendapat perhatian kerajaan sekiranya BN kembali menerajui Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN
The post Mustapha tekad bela nasib, atasi masalah peneroka Felda appeared first on Utusan Malaysia.






