Muzium angkat kegemilangan tamadun Kedah Tua

16 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Muzium Kedah Tua

KUBANG PASU: Pembinaan Muzium Kedah Tua bukan sahaja bertujuan memelihara khazanah sejarah negeri itu, malah mengangkat semula kegemilangan tamadun awal Kedah untuk tatapan dan penghayatan generasi akan datang.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, khazanah sejarah Kedah itu di samping mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri malah menjadi sumber ilmu yang dapat membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Sehubungan itu, beta berkenan untuk Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua. Muzium itu boleh menggambarkan tamadun Kedah Tua, kepada generasi muda.

“Ini termasuklah hal perkaitan pemerintahan, topografi, sinopsis Kedah Tua dan Tamadun Sungai Batu. Muzium ini juga akan menempatkan artifak pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-39 UUM semalam.

Baginda juga berharap pembinaan muzium tersebut supaya mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dengan menjadikan projek berkenaan sebagai produk pelancongan selain meraih dana daripada dermawan.

“Beta dimaklumkan, universiti memerlukan sebanyak RM15 juta untuk membina muzium, lengkap termasuk bangunan baharu, Ruang Pameran Awam, Ruang Pameran Digital, Makmal Konservasi, Stor Artifak Penyelidikan dan Pengurusan,” jelas baginda.

Pada majlis sama, Tuanku Canselor juga berkenan mengurniakan ijazah kepada 105 graduan bermula dengan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim, 66.

Sementara Pengerusi Pusat Tuisyen Akademik Darul Bakti Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, 68, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non pula menerima Ijazah Kehormat Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan).

Majlis itu turut menyaksikan Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Irfan Umar Mohd. Nor Fazly, 24, dan Ooi Sze Qin, 24, dari masing-masing dari Selangor serta Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, dari Perak.

Seramai 6,442 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi pada majlis konvokesyen itu yang bermula pada hari ini sehingga 19 November. – UTUSAN

The post Muzium angkat kegemilangan tamadun Kedah Tua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved