MY Value Up berdepan cabaran penyertaan, namun ada ruang luas aktifkan pasaran saham — CGSI

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MY Value Up berdepan cabaran penyertaan, namun ada ruang luas aktifkan pasaran saham — CGSI Image from: MY Value Up berdepan cabaran penyertaan, namun ada ruang luas aktifkan pasaran saham — CGSI amree07/09/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept — Program MY Value Up berdepan cabaran untuk memastikan syarikat tersenarai bersedia mengemukakan sasaran kewangan yang jelas, terutama apabila prestasi sesetengah mereka dipengaruhi faktor luaran di luar kawalan, namun pelaksanaannya berpotensi meningkatkan aktiviti dagangan pasaran ekuiti Malaysia, menurut CGS International (CGSI).

 

Bursa Malaysia ujar firma penyelidikan itu, menjangkakan syarikat tersenarai awam (PLC) mula mengemukakan pelan peningkatan nilai masing-masing menjelang akhir 2026, sebelum maklumat berkenaan dimuat naik ke sebuah laman web mikro khusus.

 

Dalam pertemuan fizikal firma itu bersama-sama lebih 20 pelabur institusi pada 3 September 2026, pihak bursa memberikan gambaran lebih jelas mengenai garis masa pelaksanaan serta pendekatan yang akan digunakan bagi program MY Value Up.

 

"Penyertaan dalam program berkenaan sebenarnya adalah secara sukarela, sekurang-kurangnya bagi tempoh 2026 hingga 2027, sekali gus menjadi antara cabaran utama dalam memastikan pelaksanaannya dapat mencapai skala yang diharapkan," jelas CGSI dalam analisisnya.

 

Bagaimanapun, program itu tidak terhad kepada 88 syarikat yang dipilih Bursa Malaysia, sebaliknya terbuka kepada semua PLC yang mahu mengambil bahagian dalam usaha meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

 

Firma berkenaan turut dimaklumkan bahawa sebahagian daripada 88 syarikat terbabit melihat penyediaan sasaran kewangan tertentu sebagai mencabar kerana prestasi pendapatan mereka turut dipengaruhi faktor luaran yang sukar dikawal.

 

Artikel berkaitan: KWSP, PNB dan KWAP salur modal sokong transformasi syarikat tersenarai menerusi inisiatif 'MY Value Up'

 

Selain itu ujar CGSI, Bursa Malaysia berkemungkinan memperkenalkan indeks baharu yang merangkumi syarikat dengan prestasi cemerlang berdasarkan kriteria MY Value Up, dan berpotensi memberikan pengiktirafan lebih jelas kepada PLC setelah berjaya meningkatkan nilai pemegang saham.

 

"Kami berpandangan positif terhadap pelaksanaan MY Value Up kerana program itu bertujuan memperbaiki penyampaian maklumat daripada PLC kepada pelabur serta meningkatkan komitmen syarikat untuk memaksimumkan nilai pemegang saham," katanya.

 

Tambahnya, peningkatan ketelusan maklumat dan komitmen terhadap penciptaan nilai berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur, sekali gus menyokong pertumbuhan aktiviti dagangan di pasaran ekuiti tempatan.

 

Dari perspektif Bursa Malaysia, CGSI mengulangi saranan 'tambah' dengan menjangkakan nilai dagangan harian purata (ADV) ekuiti meningkat pada FY26 hingga FY27, manakala pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 19.2% pada FY26 dijangka menjadi antara pemangkin kepada penilaian semula saham.

 

Ia mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Bursa Malaysia dari FY26 hingga FY28 serta harga sasaran (TP) pada RM11.80 berasaskan model diskaun dividen (DDM), dengan pulangan atas ekuiti (ROE) dijangka meningkat daripada 29.9% pada FY2025 kepada 41.8% pada FY2028.

 

"Bagaimanapun kami mengingatkan kemungkinan boleh berlaku risiko utama termasuk kemerosotan ketara ADV ekuiti dan peningkatan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," kata firma berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved