
YANGON: Pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, mendakwa perkhidmatan internet satelit Starlink milik Elon Musk antara kemudahan digunakan sindiket penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di negara itu.
Pendedahan itu dibuat susulan siasatan AFP pada 2025 yang mendapati penggunaan peranti Starlink meningkat dengan ketara dalam operasi sindiket penipuan, termasuk penipuan percintaan dan pelaburan, yang menyasarkan pengguna internet di seluruh dunia dengan kerugian dianggarkan mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun.
Dalam ucapan sulungnya di Parlimen sejak dilantik sebagai presiden awam pada April lalu, bekas ketua rampasan kuasa itu menegaskan kerajaan pimpinannya sedang memperhebat usaha membanteras kegiatan sindiket penipuan berkenaan.
“Kami menganggap penipuan dalam talian dan perjudian dalam talian sebagai jenayah serius yang dilakukan terhadap rakyat. Oleh itu, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan berkenaan dan akan terus memperhebat tindakan membanteras serta mengekangnya,” katanya.
Beliau turut mendakwa kebanyakan kegiatan itu didalangi warga asing, sambil menyatakan peralatan komunikasi yang digunakan, termasuk Starlink, serta aksesori komputer, dibawa masuk secara haram mereka.
Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang masih berlarutan di negara itu.
Beliau dilantik sebagai presiden awam susulan pilihan raya yang dikawal ketat.
Sejak perang saudara tercetus, pusat operasi penipuan dalam talian berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar di mana urus tadbir runtuh, dengan kebanyakannya menggunakan mangsa pemerdagangan manusia dari luar negara sebagai pekerja.
Parlimen yang disokong tentera minggu ini meluluskan undang-undang yang membenarkan hukuman mati terhadap individu yang menahan atau memaksa mangsa secara ganas untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.
Pakar turut mendakwa junta Myanmar sejak sekian lama dituduh menutup mata terhadap perkembangan industri haram itu, namun mula memperhebat operasi pembanterasan sejak Februari lalu selepas menerima tekanan daripada China, penyokong utama tenteranya.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Julai lalu menyatakan tindakan penguatkuasaan di rantau itu hanya menyebabkan rangkaian sindiket penipuan berpecah dan gagal melumpuhkannya.
Starlink, sebahagian daripada syarikat SpaceX milik Musk, menguasai sektor komunikasi satelit global menerusi ribuan satelit di orbit serta beroperasi di puluhan negara.
Pada Oktober 2025, Starlink memaklumkan pihaknya menamatkan perkhidmatan kepada lebih 2,500 peranti internet yang digunakan di pusat penipuan dalam talian di Myanmar.- AFP
The post Myanmar dakwa Starlink jadi alat sindiket penipuan siber appeared first on Utusan Malaysia.



