Kerjaya Prospek catat buku tempahan RM5.9 bilion, tender RM2 bilion buka ruang pertumbuhan baharu – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek catat buku tempahan RM5.9 bilion, tender RM2 bilion buka ruang pertumbuhan baharu – MBSB Research Image from: Kerjaya Prospek catat buku tempahan RM5.9 bilion, tender RM2 bilion buka ruang pertumbuhan baharu – MBSB Research sarah12/10/2026 - 10:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt -- Kerjaya Prospek Group Bhd berpotensi meraih pertumbuhan lebih tinggi menerusi peluang tender bernilai RM2 bilion, disokong buku tempahan rekod RM5.9 bilion serta peluasan rangkaian pelanggan yang mengukuhkan prospek perolehan kontrak baharu.

 

MBSB Research menjangkakan keuntungan bersih teras syarikat pembinaan itu meningkat masing-masing sebanyak 18%, 22% dan 5% tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, sekali gus mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13.1% bagi tempoh tiga tahun hingga FY2029.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan keuntungan disokong buku pesanan tertinggi berjumlah RM5.9 bilion merangkumi 40 projek yang sedang dilaksanakan, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY2029.

 

Setakat 3 September 2026, kontrak baharu yang diperoleh bagi tempoh tahun kewangan 2026 setakat ini mencecah RM3.4 bilion, hampir dua kali ganda RM1.8 bilion yang dicatatkan sepanjang FY2025 dan jauh mengatasi sasaran awal RM2 bilion bagi keseluruhan tahun.

 

MBSB Research mengunjurkan pemerolehan kontrak baharu tahunan antara RM3.5 bilion hingga RM3.7 bilion bagi FY2026 hingga FY2029, berbanding RM1.2 bilion hingga RM1.8 bilion bagi FY2022 hingga FY2025.

 

Peningkatan itu dijangka didorong kadar kejayaan tender lebih tinggi dan nilai purata kontrak lebih besar, khususnya bagi kerja pusat data serta mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

Margin keuntungan lebih tinggi berbanding pesaing

MBSB Research berkata, margin keuntungan yang mengatasi pesaing turut menjadi pemacu pertumbuhan pendapatan Kerjaya Prospek.

 

Syarikat itu secara konsisten mencatatkan margin bersih sekitar 10% bagi projek pembinaan kediaman, dengan sesetengah projek mencapai 12% hingga 13%, lebih tinggi berbanding margin satu angka sederhana hingga tinggi yang lazim dicatatkan pesaing.

 

Prestasi itu diterjemahkan kepada margin pembinaan masing-masing sebanyak 10.2%, 9.5% dan 11.9% bagi FY2023, FY2024 dan FY2025, disokong disiplin perolehan serta kawalan kos yang berkesan.

 

Walaupun persaingan harga dan pelaksanaan projek pusat data pertama sebagai kontraktor utama berpotensi memberi tekanan kepada margin, projek berulang daripada pihak berkaitan E&O dan KPP dijangka membantu mengekalkan kelebihan margin syarikat.

 

Ini kerana Kerjaya Prospek mempunyai rekod prestasi kukuh dalam projek berkenaan serta keterlihatan kos yang lebih baik.

 

Peluasan pelanggan kukuhkan pemerolehan kontrak

Buku pesanan Kerjaya Prospek hampir seimbang antara projek daripada pihak berkaitan dan pelanggan luar, dengan projek pelanggan luar merangkumi 50.7% daripada jumlah keseluruhan selepas penambahan lapan pelanggan baharu dalam tempoh FY2026 setakat ini.

 

Pembangunan Andaman kekal sebagai sumber projek berulang, dengan lima projek pembangunan mempunyai jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM3.3 bilion bagi tempoh FY2027 hingga FY2029.

 

Fasa pembangunan seterusnya turut merangkumi projek komersial dan penjagaan kesihatan, termasuk sebuah hospital tertiari yang dianggarkan mempunyai kapasiti 240 katil.

 

Tender RM2 bilion buka peluang pertumbuhan tambahan

Buku tender Kerjaya Prospek bernilai RM2 bilion merangkumi peluang daripada pihak berkaitan, pusat data, sektor perindustrian dan infrastruktur.

 

Selain itu, potensi pemberian kontrak pembinaan dalaman bernilai RM300 juta bagi pembangunan syarikat di Batu Kawan boleh meningkatkan pemerolehan kontrak baharu FY2026 kepada RM3.7 bilion.

 

MBSB Research mengandaikan pemerolehan kontrak baharu sebanyak RM3.5 bilion setahun bagi FY2027 dan FY2028, dengan potensi peningkatan daripada kontrak besar dalam sektor pusat data, penjagaan kesihatan dan infrastruktur Pulau Pinang.

 

Kerjasama dengan Samsung C&T turut memberikan akses kepada projek yang lebih besar dan kompleks, manakala pegangan 31% dalam ES Sunlogy meluaskan peluang dalam kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) pusat data, semikonduktor serta sektor perindustrian.

 

data

 

Kontrak pusat data RM858 juta lonjak nilai projek

Kontrak kerja pemasangan MEP pusat data bernilai RM858 juta di Iskandar Puteri yang diperoleh pada September 2026 merupakan kontrak terbesar Kerjaya Prospek setakat tahun ini.

 

Kontrak itu mengatasi beberapa kontrak utama lain, termasuk RM529 juta di Taman Duta, RM488 juta di Pulau Andaman dan RM223 juta di Johor Bahru.

 

Pemerolehan itu juga menandakan peningkatan ketara berbanding subkontrak berkaitan pusat data pertama syarikat bernilai RM52.5 juta yang diperoleh pada Julai 2026, meliputi kerja struktur dan selongsong (C&S) serta kerja asas mekanikal dan elektrikal voltan rendah.

 

Kerjaya Prospek kini sedang menyertai tender bagi projek pusat data lain yang merangkumi skop C&S dan MEP, dengan sesetengah peluang berpotensi bernilai dua hingga tiga kali ganda lebih besar berbanding projek sedia ada.

 

Pegangan 31% dalam ES Sunlogy turut memperkukuh keupayaan elektrikal dan kapasiti subkontraktor syarikat, selain perancangan untuk membangunkan pasukan MEP dalaman serta memperluas rangkaian subkontraktornya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved