sarah13/10/2026 - 12:22 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad selepas menerima aduan rasmi pada 7 Oktober 2026.
SPRM dalam kenyataan hari ini mengesahkan penerimaan aduan berkenaan, namun tidak memperincikan bentuk dakwaan atau perkara yang menjadi asas siasatannya.
Suruhanjaya itu turut tidak mendedahkan identiti pengadu atau pihak yang mungkin dipanggil untuk membantu siasatan.
SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan secara bebas, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang kompromi.
Pada masa sama, suruhanjaya itu mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tambahan berkaitan isu berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
SPRM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
PDRM jalankan siasatan mengikut bidang kuasa
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut mengambil maklum bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap isu sama.
Menurut SPRM, kedua-dua agensi akan bekerjasama melalui perkongsian maklumat berhubung kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa polis.
"PDRM akan menyalurkan apa-apa maklumat sekiranya wujud elemen rasuah untuk tindakan SPRM selanjutnya," menurut kenyataan itu.
Pengaturan tersebut membolehkan maklumat berkaitan kemungkinan kesalahan rasuah yang ditemukan dalam siasatan polis disalurkan kepada SPRM untuk tindakan susulan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan perkembangan siasatan kedua-dua agensi atau sama ada sebarang individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
SPRM sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang. — DagangNews.com






