MyLapor mudahkan aduan kesalahan merokok

LocalHealth & Fitness
12 Oct 2026 • 4:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MyLapor mudahkan aduan kesalahan merokok

PETALING JAYA: Sistem MyLapor mula beroperasi hari ini sebagai saluran aduan digital bagi membolehkan orang awam melaporkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, MyLapor dibangunkan bagi memudahkan pelaporan kesalahan di bawah Akta 852 oleh orang awam serta memperkukuh pengurusan aduan dan tindakan penguatkuasaan oleh anggota kesihatan. 

Katanya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan KKM untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memastikan aduan diurus secara lebih sistematik.

“Melalui MyLapor, orang awam boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor atau mengakses pautan https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public⁠. Setiap aduan akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian. 

“Ini membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih cepat, tepat dan berkesan tanpa perlu melalui proses penyaluran aduan yang panjang. MyLapor turut membolehkan pengadu menerima notifikasi status aduan yang telah dibuat melalui Aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, pelaksanaan MyLapor memberi ruang kepada masyarakat untuk melaporkan kesalahan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukan kesalahan. 

Pada masa sama, katanya, pengurusan aduan secara digital membantu KKM memantau aduan, mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian serta merancang tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

“Kepentingan MyLapor melangkaui kemudahan membuat aduan. Penglibatan aktif masyarakat dapat membantu meningkatkan pematuhan terhadap larangan merokok dan melindungi orang ramai khususnya kanak-kanak daripada pendedahan kepada asap rokok. 

“Usaha tersebut menyokong pembentukan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk semua,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menyeru orang awam agar menggunakan MyLapor secara bertanggungjawab dengan memberikan maklumat yang tepat dan lengkap bagi membantu siasatan. 

“Pemilik serta pengusaha premis juga digalakkan untuk menyokong pelaksanaan ini dengan memaparkan kod QR MyLapor di lokasi yang mudah dilihat dan memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di premis masing-masing,” katanya. – UTUSAN 

The post MyLapor mudahkan aduan kesalahan merokok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved