Nabila Razali Belum Sedia Dedah Nama & Wajah Anak, Bimbang Penyakit Ain! - "Saya Tak Nak Ambil Risiko"

10 Mar 2025 • 9:54 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui masih belum bersedia untuk berkongsi wajah mahupun nama anak lelakinya kepada umum, meskipun sudah dua bulan bergelar ibu.

Nabila atau Nur Nabila Mohd Radzali, 33, berkata dia dan suaminya telah sepakat untuk tidak mendedahkan identiti anak mereka buat masa ini dan hanya akan berkongsi apabila tiba waktunya.



“Insya-Allah kalau saya dah bersedia akan kongsi di media sosial.



“Saya dan suami ada pemahaman yang sama dan bersetuju untuk tidak dedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.



“Saya sedar ramai yang bertanya, nanti kalau saya dah tunjuk korang tataplah puas-puas ya,” katanya kepada Gempak.



Nabila berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di karnival beli-belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura baru-baru ini.



Selain hadir sebagai peniaga, Nabila juga membuat persembahan di acara tersebut.



Dalam usaha menjaga privasi keluarganya, Nabila mengakui dia risau dengan ancaman penyakit ain yang boleh menjejaskan bayi.



Menurutnya, sebagai seorang selebriti yang sering berinteraksi dengan orang ramai, dia enggan mengambil sebarang risiko yang boleh memberi kesan kepada anaknya.



“Ya, risau juga dengan penyakit ain dan sekarang pun macam-macam kes berlaku melibatkan bayi.



“Jadi saya tak nak ambil risiko, tambahan pula bila menjadi figura awam ni saya risau mungkin akan diperhatikan.



“Orang biasa pun boleh jadi mangsa, inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai,” jelasnya.

Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.



Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.