SUKMA 2026: Bola tampar pantai wanita mara final, selangkah buru emas

15 Aug 2026 • 11:36 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Bola tampar pantai wanita mara final, selangkah buru emas

SHAH ALAM, 15 OGOS: Skuad bola tampar pantai wanita Selangor semakin hampir merealisasikan misi menghadiahkan pingat emas selepas menempah tiket ke perlawanan akhir Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Gandingan adik-beradik, Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng, menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan pasangan Sarawak A 21-13, 21-14 dalam aksi separuh akhir di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Selangor A bertemu Pulau Pinang A pada aksi final yang dijadualkan berlangsung jam 4 petang.

Yu Jie dan Yu Heng dilihat menguasai permainan dengan baik sepanjang perlawanan dan kini bersemangat untuk memburu emas buat Kontinjen Selangor, selain mahu menebus kekecewaan pada temasya terdahulu.

Bagaimanapun, kejayaan skuad wanita gagal diikuti pasukan lelaki Selangor B apabila gandingan Jonathan Wong Hong Jie dan Tan Yong Jen terpaksa akur dengan kekalahan tipis 17-21, 20-22 kepada Terengganu A dalam aksi separuh akhir yang berlangsung sengit.

Walaupun tewas, gandingan Selangor itu berjaya memberikan tentangan sengit dengan mengheret pasangan utama Terengganu sehingga penghujung set kedua.

Jonathan dan Tan kini memberi fokus kepada aksi penentuan pingat gangsa menentang Terengganu B yang dijadualkan berlangsung jam 2.30 petang.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Kontinjen Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi yang meluangkan masa menyaksikan aksi skuad negeri selain memberikan kata-kata motivasi kepada pemain sebelum perlawanan separuh akhir.

Dua aksi penentuan pingat dijangka berlangsung sengit di gelanggang sama, dengan Selangor terlebih dahulu memburu gangsa menerusi skuad lelaki sebelum skuad wanita turun memburu emas pada sebelah petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved