Nahas 11 Kenderaan Di LPT1: 3 Sekeluarga Antara 4 Yang Maut 

LocalCars
1 Sep 2026 • 2:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nahas 11 Kenderaan Di LPT1: 3 Sekeluarga Antara 4 Yang Maut 

KUANTAN - Tiga sekeluarga yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malam tadi.

Mangsa ialah pemandu Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, berusia empat tahun.

Turut maut dalam nahas itu ialah Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor, yang berada dalam sebuah Honda CR-V dipandu anak lelakinya berusia 18 tahun.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 10.55 malam di Kilometer 110.3 LPT arah timur dan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen, sebuah bas ekspres serta sembilan kereta.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan.

“Tiga mangsa daripada keluarga berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, begitu juga Seow,” katanya.

Anak lelaki Seow mengalami kecederaan parah, manakala pemandu lori tangki, Zulkarnain Md Noh, 52, dari Kuantan, turut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Pemandu dan penumpang daripada lapan lagi kenderaan, termasuk bas ekspres dan tujuh kereta, mengalami kecederaan ringan dan turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, bapa Nur Atiqah Sofiya, Mohd Kazwan Kassim, 59, berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 7.50 pagi hari ini.

Menurut beliau, anak perempuannya sempat berkongsi gambar bersama suami dan anak mereka ketika menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dalam kumpulan WhatsApp keluarga, semalam.

“Saya tidak tahu bila mereka bertolak ke Putrajaya atau bila mereka memulakan perjalanan pulang. Saya hanya mendapat tahu mengenai kemalangan itu kira-kira jam 7.50 pagi tadi.

“Saya mendapat berita itu daripada rakan-rakan anak saya, tetapi masih tidak dapat mempercayainya sehinggalah saya melihat gambar mereka yang tersebar di media sosial,” katanya ketika ditemui di luar unit forensik HoSHAH.

Mohd Kazwan berkata, Nur Atiqah Sofiya merupakan anak kedua daripada empat beradik dan mengusahakan Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan.

Muhammad Nazatul pula bekerja di sebuah kilang di Gebeng dan berasal dari Kuala Lumpur.

Katanya, pertemuan terakhir mereka sekeluarga berlaku pada Khamis lalu, memandangkan mereka tinggal berdekatan antara satu sama lain di Bandar Damansara, Kuantan.

Jenazah ketiga-tiga ahli keluarga itu dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Paya Luas sebelum dibawa ke Kuantan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 1 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved