TEMERLOH — Seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 31 Ogos lalu meninggal dunia selepas lebih 10 hari bertarung nyawa.
Mangsa, Sebastian Seow Jhen, 18, yang juga pemandu Honda CR-V, disahkan meninggal dunia pada Sabtu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini selepas mengalami kecederaan parah dalam nahas berkenaan.
Lebih memilukan, bapanya, Seow Beng Wain adalah antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan sama.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kematian Sebastian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam nahas berkenaan meningkat kepada lima orang.
"Saya sahkan kematian remaja terbabit dan difahamkan mayat mangsa dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk disemadikan.
"Punca kematian kecederaan pada kepala dan badan akibat kemalangan jalan raya," katanya.
Pada 1 September lalu, empat individu maut selepas lori tangki muatan simen dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan berkata, tiga mangsa yang menaiki Proton S70 ialah pasangan suami isteri, Muhammad Nazatullah dan Nur Atiqah Sofiya serta anak lelaki mereka, manakala Beng Wain merupakan penumpang sebuah Honda CR-V.
Sementara itu, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain termasuk bas ekspres, Toyota Hilux, Toyota Alphard serta lima kereta lain mengalami kecederaan ringan.
Dalam perkembangan berkaitan, pemandu lori tangki simen yang turut cedera parah dalam kemalangan itu, Zulkarnain Md Noh, 52, didakwa di hospital semalam atas empat pertuduhan berkaitan kematian empat mangsa dalam nahas berkenaan.






