
KANGAR – Dua kanak-kanak terselamat selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran Dataran Sena, di sini petang ini.
Dalam kejadian itu, Perodua Alza tersebut remuk di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala sebuah Perodua Ativa turut rosak di bahagian penumpang belakang.
Kedua-dua kenderaan berkenaan diletakkan di petak parkir ketika kejadian berlaku.
Difahamkan, dua kanak-kanak terbabit berada di tempat duduk belakang Perodua Alza dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan dua kanak-kanak terselamat dalam kejadian pokok tumbang tersebut.
“Kak Ta dapat maklumat kecemasan ada pokok tumbang dan menghempap dua buah kenderaan berhampiran Dataran Sena. Alhamdulillah, mujur tiada kemalangan jiwa. Dua anak kecil yang berada di kerusi belakang juga terselamat,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan memeriksa serta mengambil langkah sewajarnya terhadap pokok-pokok, terutama yang berisiko tumbang.
“Keselamatan rakyat ini kita jangan tunggu sampai perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi video yang dikongsi, Marzita dilihat bertanyakan mengenai kejadian itu kepada pemandu Perodua Alza sambil melihat keadaan dua kanak-kanak terbabit.
“Kebetulan si adik duduk di depan tetapi bapa dia beli KitKat, bapa dia mai sua (hulur), kemudian dia mai ke (kerusi) belakang. Selepas itu pokok pun tumbang,” katanya dalam video tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Pokok hempap kereta, mujur dua beradik duduk di belakang appeared first on Kosmo Online.





