
KOTA BHARU – Penahan seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan membongkar kegiatan haramnya sebagai pengedar dadah dalam kejadian di Kampung Batu 10, Batang Merbau, Tanah Merah, semalam.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang selepas kereta jenis Honda FD yang dia pandu terbabas ke tepi jalan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd.Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan menemui 14 biji pil kuda bernilai RM154 disorok di bawah papan pemuka.
Katanya, soal siasat kemudian menemui 13 bungkusan ganja bernilai RM280,000 di sebuah kedai telekomunikasi di sekitar Tanah Merah.
“Suspek mengedar dadah menggunakan khidmat kurier untuk dihantar ke kawasan luar Kelantan sejak Ogos 2025.
“Semakan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau selain positif syabu. Dia direman selama tujuh hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusoff, ganja mampat itu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di kawasan Lalang Pepuyu, di Tanah Merah.- KOSMO! ONLINE
The post Nahas bongkar kegiatan haram pengedar dadah appeared first on Kosmo Online.




