
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Nahas melibatkan sebuah Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) atau Flying Doctor di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, Sarawak pada Selasa (8 September) lalu nyata mendapat perhatian.
Ramai bersimpati dan turut bersedih dengan pemergian lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan.
Namun, timbul persoalan dari kalangan netizen mengapa kesemua mangsa tidak melompat atau menggunakan payung terjun untuk keluar dari helikopter berkenaan.
Terjun Keluar Dari Pesawat Perlu Ada Latihan & Kemahiran
Mengulas mengenai perkara itu, seorang juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol tampil memberi penjelasan dalam satu hantaran di Facebook.
Jelas Mohd Ezairol yang juga bekas Jurulatih Penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak semua orang boleh memakai payung terjun dan menggunakannya untuk keluar dari pesawat.
Ini kerana seseorang itu perlu mempunyai latihan dan kemahiran serta kesihatan yang baik untuk membolehkan dia keluar dari pesawat berkenaan.
“Kenapa mereka tak lompat je? Kenapa tak disediakan payung terjun untuk mereka guna?
“Ini soalan yang baik. Untuk makluman, aku dulu adalah jurulatih penerbangan PDRM dan pernah mengajar juruterbang baharu membawa dan menerbangkan penerjun-penerjun payung dari unit khas seperti VAT69 dan UTK.
“Untuk membolehkan seseorang itu terjun keluar dari pesawat perlu ada latihan, kemahiran dan kesihatan yang baik, barulah mereka layak untuk pakai sayap terjun tu.
“Bukan semua orang dan bukan suka-suka hati kita je nak pakai payung terjun dan terjun keluar dari sesebuah pesawat. Ada hukum dan peraturannya!” tulisnya.
Penerjun Perlu Duduk Dalam Pesawat Jika Berada Pada Ketinggian Kurang 1,000 Kaki
Jelas Mohd Ezairol lagi, setiap penerjun tidak boleh keluar dari pesawat dan dikehendaki berada dalam badan pesawat sehingga mendarat jika pesawat berada pada ketinggian kurang dari 1,000 kaki.
“Kenapa? Sebab kalau dia terjun sekali pun, payung terjun itu dikhuatiri tak sempat terbuka dan kembang dengan baik dan ini akan membahayakan nyawa para penerjun,” katanya.
Juruterbang Turut Betulkan Beberapa Fakta Mengenai Nahas Helikopter Flying Doctor
Menerusi hantaran sama, Mohd Ezairol turut membetulkan beberapa fakta mengenai nahas helikopter yang mengorbankan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta seorang juruterbang.
“Ada beberapa fakta yang ditulis dan dikongsikan tentang helikopter itu tidak betul dan tepat. Banyak juga komen yang ditulis menyatakan helikopter tersebut milik kerajaan kita.
“Sebenarnya fakta yang sebetulnya adalah begini:
“Helikopter yang digunakan itu adalah helikopter sewaan khas milik syarikat Layang-Layang Aerospace. Helikopter milik syarikat swasta tersebut disewakan khas bagi operasi penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS).
“Ia digunakan untuk membawa pasukan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ke kawasan pedalaman.
“Faktanya adalah helikopter tersebut disewa dan ia bukan helikopter milik kerajaan. Untuk makluman, di negara kita ini belum ada lagi helikopter milik kerajaan yang diperuntukkan khas untuk kegunaan pihak Kementerian Kesiharan Malaysia (KKM).
“Selain Layang-Layang Aerospace, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggunakan khidmat penyewaan helikopter daripada syarikat Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) dan Hornbill Skyways Sdn Bhd untuk melancarkan operasi perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Borneo,” tulisnya.
TLDM & PDRM Tak Pernah Guna Helikopter BO-105 Sebagai Aset Operasi
Tambah Mohd Ezairol lagi, helikopter jenis BO-105 itu juga tidak pernah digunakan sebagai aset operasi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Juruterbang Turut Beri Penjelasan Mengenai Pergerakan Helikopter FDS & SAR
Malah, Mohd Ezairol turut memberi pendapat dari pihaknya mengapa helikopter FDS dibenarkan terbang dalam keadaan berjerebu sedangkan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak mendapat kebenaran terbang selepas kejadian terbabit.
“Ni pun banyak yang tanya dan pertikaikan. Untuk pengetahuan semua, helikopter malang yang petugas kesihatan KKM naik semalam (8 September) tu, mereka berlepas dari Miri.
“Helikopter penyelamat yang ingin digunakan semalam tu berada di Kuching.
“Bagi sebuah helikopter komersial ringan, perjalanan dari Kuching ke Long Lellang secara terus (tanpa henti) akan mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam (bergantung kepada kelajuan helikopter dan keadaan angin).
“Masa kejadian, helikopter terhempas semalam adalah pada jam 3:32 minit petang. Mengambil kira masa untuk laporan sampai dan untuk kru bersedia, waktu untuk ke sana sudah pun gelap dan malam.
“Ini akan membahayakan kru pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Risiko cuaca buruk dan penglihatan yang terjejas disebabkan jerebu teruk di Kuching perlu diambil kira.
“Keadaan ‘visibility’ (penglihatan) di Miri jika dibandingkan dengan keadaan di Kuching pada sebelah petang tak sama dan sangat berbeza,” tulisnya.
Mohd Ezairol Yakin Pilot Helikopter FDS Sudah Buat Yang Terbaik
Pada masa sama, Mohd Ezairol turut menjawab persoalan segelintir individu mengenai keputusan juruterbang helikopter FDS terbabit yang didakwa menuju ke arah landasan.
Jelas Mohd Ezairol, dia yakin Allahyarham Zainol Afiq tahu cara terbaik untuk menyelamatkan helikopter dan penumpang yang dibawa.
“Pada masa kecemasan dan kritikal begitu, hanya beliau saja yang tahu apa cara terbaik untuk beliau selamatkan helikopter dan semua penumpang yang dibawa olehnya.
“Kita yang berada kat bawah ni boleh la fikir begitu begini sambil minum kopi, tapi kalau benda yang sama jadi kat kita, silap-silap kita sendiri pun ‘freeze’, kaku dan mati. Kaget (terkejut) takleh nak fikir.
“Pilot sendiri pun ada camtu. Sudah banyak kali dah aku jumpa pilot ‘senior’ yang sembang macam hebat tapi bila benda kecemasan tu berlaku sendiri kat dia, dia jadi kaku tak tahu nak buat apa.
“Pada aku apa jua tindakan pilot tersebut, dia dah cuba yang terbaik untuk selamatkan nyawa semua mangsa nahas yang terkorban,” tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Mohd Ezairol turut mezahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
“Semoga segala khidmat, pengorbanan dan kebaikan yang mereka berikan sepanjang menjalankan amanah kepada masyarakat menjadi amal yang berpanjangan dan dikenang sentiasa,” tulisnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Dia Terlalu Muda” – Bapa Allahyarham Zainol Afiq Akui Terkejut, Dedah Arwah Sempat Berbual Sejam Dengan Ibu Sehari Sebelum Nahas
Baca Artikel Berkaitan: “Kami Sudah Ada Janji Dengan Pesakit” – Tabur Bakti Sehingga Akhir Hayat, Pemilik Kedai Runcit Kongsi Ayat Terakhir Penumpang Sebelum Berlepas
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia






