
KUALA LUMPUR – Laporan awal siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati juruterbang helikopter BO105 milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu mempunyai lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah.
Beliau berkata, helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF yang beroperasi di bawah kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut memiliki perakuan pendaftaran dan perakuan kelayakan terbang yang sah selain disahkan layak terbang ketika berlepas.
“Siasatan masih diteruskan dan satu laporan muktamad berhubung kemalangan udara ini perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh kemalangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Loke menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung tarikh audit keselamatan, audit pengawasan dan pemeriksaan terakhir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke atas operator helikopter terbabit pascanahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden. – Bernama
The post Nahas helikopter FDS: Laporan awal dibentang esok appeared first on Kosmo Online.





