Nahas helikopter: Impian Jessie Paya sambung pengajian tidak kesampaian - Rakan

10 Sep 2026 • 9:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas helikopter: Impian Jessie Paya sambung pengajian tidak kesampaian - Rakan
Selain Jessie dan Debra, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31.

KUCHING - Impian jururawat, Jessie Paya Jok, 44, untuk melanjutkan pengajian tidak kesampaian apabila terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang pada Selasa.

Sahabatnya, Caroline Sawai Joseph Chungat, 43, yang merupakan jururawat di Hospital Miri berkata, Jessie atau lebih mesra disapa Paya, pernah memaklumkan kepadanya bahawa bulan ini merupakan penglibatan terakhirnya dalam FDS.

"Itu perbualan terakhir antara saya dan Paya pada bulan lepas, dengan penuh teruja dia memaklumkan bahawa bulan ini penglibatan terakhir dia dalam FDS kerana tahun hadapan dia merancang melanjutkan pengajian dalam Advanced Diploma in Midwifery.

"Namun, hasrat serta impian murni Paya melanjutkan pengajian itu tidak kesampaian, itulah cita-citanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM

Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak

Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa

Caroline berkata, beliau mengenali Paya sejak tahun 2005, sewaktu mereka bersama-sama menjadi pelatih Jururawat Masyarakat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Serian.

Sepanjang 21 tahun perkenalan, Paya disifatkan sebagai seorang berjiwa lembut, tidak banyak berbicara, namun sentiasa menceriakan suasana sekelilingnya dengan senyuman dan tawa.

"Keperibadian Paya begitu menyentuh hati kerana dalam tempoh lebih dua dekad mengenalinya, saya tidak pernah sekali pun melihat dia meluahkan rasa marah mahupun meninggi suara kepada sesiapa.

"Kebaikan dan pengorbanan Paya turut terserlah sewaktu dia bertugas di Klinik Kesihatan Bario, dengan ketulusan hatinya telah menambat kasih sayang seluruh penduduk kawasan pedalaman berkenaan,” katanya.

Caroline berkata, kebaikan Paya terserlah apabila beliau sanggup menggunakan wang sendiri untuk membiayai tambang perjalanan pesakit yang perlu dirujuk ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan.

"Tidak ramai insan yang mampu mempamerkan kemuliaan hati sedemikian rupa buat pesakit yang tiada pertalian darah, namun Paya membuktikannya menerusi dedikasi tinggi serta sikap tidak pernah merungut biarpun berdepan bebanan tugas yang menguji ketahanan mental dan fizikal,” katanya.

Selain Paya, Caroline turut mengenali seorang lagi jururawat terkorban dalam nahas itu iaitu Debra Moset, 40, yang dikenali dengan perwatakan mesra, mudah didekati dan gemar bergurau senda.

"Hubungan kami terjalin sewaktu berkhidmat bersama di Klinik Kesihatan Jambatan Suai selama enam tahun, sebelum masing-masing berpindah ke tempat lain dan dipertemukan semula pada 2019 ketika mengambil program Peningkatan Secara Lantikan (PSL).

"Debra seorang teliti dan bertanggungjawab dalam tugasan, dia juga dikenali sebagai seorang jururawat penyayang di mata pesakit di Klinik Kesihatan Jambatan Suai,” katanya.

Caroline berkata, perbualan terakhirnya bersama Debra ialah pada Februari lepas dan hanya berkisar tentang kerja.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport). 

Selain Jessie dan Debra, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved