
PETALING JAYA- Kapten Zainol Afiq yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak semalam pernah menabur bakti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun 2022.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads @Amiruladnans yang menyifatkan beliau dan Kapten Afiq Zainol pernah bertugas menerbangkan Anwar ketika berkempen sempena PRU15 yang lalu.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya Amirul Hakeem. Saya tidak pasti sama ada Yang Amat Berhormat (YAB) masih mengingati saya, tetapi saya merupakan sebahagian daripada kru ketika kempen PRU15 pada 2022 yang membantu juruterbang dalam urusan penyelarasan ketika YAB menaiki penerbangan bersama kami.
“Maaf kerana menghubungi YAB dengan cara begini, tetapi saya cuma ingin memaklumkan mengenai Kapten Zainol Afiq, beliau merupakan juruterbang yang menerbangkan YAB sepanjang beberapa hari kempen tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial itu tadi.
Kata Amirul Hakeem, Allahyarham begitu berbesar hati kerana berpeluang menerbangkan Anwar pada ketika itu.
“Beliau sering bercerita tentang hari-hari tersebut dengan penuh rasa bangga dan saya tahu pengalaman itu sangat bermakna buat beliau. Malangnya, beliau terlibat dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak semalam dan telah meninggal dunia.
“Saya cuma merasakan bahawa setelah beberapa hari bersama beliau ketika kempen tersebut, YAB patut mengetahuinya kerana beliau seorang yang baik dan merupakan sahabat yang saya sayangi,” jelasnya.
Katanya, beliau begitu sedih dengan berita insiden tersebut mahu Perdana Menteri mengetahui hal itu kerana pernah diterbangkan oleh Kapten Afiq Zainol sepanjang tempoh kempen terbabit.
Semalam,insiden helikopter FDS Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilaporkan terhempas pada petang ini berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak disahkan membawa empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Empat petugas itu membabitkan seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua orang jururawat. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter: Kapten Zainol Afiq pernah terbangkan PM appeared first on Kosmo Online.





