Nahas helikopter KKM: Kementerian siap sedia terima mangsa – Dr. Dzulkefly

9 Sep 2026 • 12:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nahas helikopter KKM: Kementerian siap sedia terima mangsa – Dr. Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden helikopter terhempas di Sarawak semalam diteruskan hari ini dengan penglibatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihak hospital pula berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya di semua peringkat bagi menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, segala perkembangan operasi di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak berkuasa yang mengendalikan operasi SAR.

“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa dijalankan oleh pasukan tentera, PDRM dan JBPM.

“Pihak hospital bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Polis Sarawak kini bertindak sebagai accident commander dalam mengendalikan operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, fokus utama Kementerian Kesihatan (KKM) ketika mendepani situasi sukar itu adalah keselamatan petugas kesihatan, kebajikan keluarga dan waris mangsa serta kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti terjejas.

Katanya, aspek keselamatan petugas yang terlibat dalam perkhidmatan perubatan menjadi keutamaan mutlak KKM.

“Yang kedua adalah memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terlibat. Ketiga, memastikan kita terus memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di sekitar tempat-tempat yang terjejas,” katanya.

Menurut beliau, pasukan Kesihatan Mental dan Bantuan Psikologi (MHPSS) KKM turut menjalankan intervensi dengan mendampingi ahli keluarga mangsa bagi memberikan Bantuan Psikologi (PFA) serta sokongan emosi secara berterusan.

“Sokongan sama turut diberikan kepada pasukan perkhidmatan perubatan yang terjejas akibat trauma selepas insiden ini,” katanya.

Dari aspek kebajikan, beliau berkata sumbangan kewangan kepada keluarga akan disalurkan melalui Tabung Ikhlas Sukan dan Kebajikan Pegawai Jabatan KKM selain bayaran ex gratia yang diberikan kerajaan.

Dzulkefly turut memberi jaminan KKM akan terus menyalurkan maklumat rasmi dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan yang disahkan pihak berkuasa.

“Saya mohon semua rakyat Malaysia sama-sama menitipkan doa agar urusan operasi SAR diteruskan hari ini dan mangsa dapat ditemukan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Nahas helikopter KKM: Kementerian siap sedia terima mangsa – Dr. Dzulkefly appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved