Doktor Udara: Khidmat Diteruskan Meskipun 5 Nyawa Terkorban

LocalHealth & Fitness
9 Sep 2026 • 8:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Doktor Udara: Khidmat Diteruskan Meskipun 5 Nyawa Terkorban

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) diteruskan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman dan terpencil tidak terpinggir daripada menerima rawatan dan perubatan diperlukan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemergian lima petugas kesihatan akibat tragedi helikopter terhempas semalam sememangnya amat menyedihkan, namun FDS adalah satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. 

Menurut beliau, keperluan untuk FDS diteruskan amat jelas, khususnya bagi komuniti yang berdepan keterbatasan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Sememangnya ada sebab dan keperluan untuk perkhidmatan ini diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media berhubung nahas berkenaan hari ini.

Jelas Dr Dzulkefly, akses kepada penjagaan kesihatan bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu terus diberi perhatian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kecemasan perubatan yang tidak boleh ditangguhkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memiliki atau mengendalikan helikopter sendiri bagi tujuan FDS, sebaliknya menggunakan perkhidmatan pesawat disediakan pengendali yang dilantik secara kontrak.

“Kita mempunyai aset seperti bot dan klinik bergerak, tetapi bukan helikopter,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, aspek keselamatan penerbangan merupakan tanggungjawab pihak berkuasa berkaitan dan bukan di bawah bidang kuasa KKM.

Menurutnya, kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua agensi terlibat bagi mengetahui keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu.

Ditanya sama ada helikopter berkenaan mendapat kebenaran untuk beroperasi ketika keadaan jerebu, Dr Mahathar berkata, keputusan berkaitan kelulusan penerbangan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang berkenaan.

“Pemahaman saya, kebenaran yang diperlukan telah diberikan dan penerbangan itu dijalankan,” katanya.

Beliau memberitahu, FDS melibatkan dua bentuk operasi utama iaitu lawatan perubatan berjadual serta penerbangan evakuasi perubatan atau medical evacuation (medevac).

“Lawatan berjadual lazimnya dijalankan sebulan sekali atau sekali setiap dua bulan, bergantung kepada keperluan komuniti di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Penerbangan medevac digunakan bagi membawa pesakit yang berada dalam keadaan kritikal untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan bersesuaian,” katanya. 

Dr Mahathar berkata, penerbangan seumpama itu akan terus dilaksanakan sekiranya diperlukan dari sudut perubatan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta keadaan cuaca dan faktor lain yang tidak menjejaskan keselamatan penerbangan.

Beliau berkata KKM juga akan menilai semula pendekatan bagi pelaksanaan operasi FDS berjadual, selain terus memberikan panduan kepada pasukan perubatan yang bertugas di lapangan.

Nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak semalam mengorbankan lima individu, terdiri daripada seorang juruterbang dan empat anggota KKM yang sedang menjalankan tugas FDS. - Getaran, 9 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved