Nahas helikopter: Ibu dedah wajah Ainul Baroah kelihatan berseri sebelum pulang ke Sarawak

8 Sep 2026 • 11:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nahas helikopter: Ibu dedah wajah Ainul Baroah kelihatan berseri sebelum pulang ke Sarawak

KOTA BHARU: Wajah Dr. Ainul Baroah Kamarudin, 33, kelihatan manis dan berseri ketika pulang bercuti selama seminggu di kampung pada minggu lalu, sebelum dia dilaporkan maut dalam tragedi helikopter terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, Sarawak, petang tadi.

Keceriaan anak keempat daripada lima beradik itu menjadi kenangan terakhir buat ibunya, Rogayah Mohd. Noor, 69, yang tidak menyangka pertemuan mereka beberapa hari lalu menjadi detik terakhir.

Rogayah berkata, Ainul Baroah dan suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, pulang ke kampung selama seminggu ketika cuti persekolahan sebelum mereka bergerak kembali ke Sarawak pada pagi Ahad lalu.

Katanya, Ainul Baroah yang bekerja sebagai doktor itu kelihatan sangat ceria sepanjang berada di rumah, malah sering memasak untuk keluarga.

“Wajahnya kelihatan manis dan berseri ketika berada di rumah. Dia seperti sangat gembira apabila pulang ke kampung bersama suaminya yang bekerja sebagai guru di Miri, Sarawak.

“Kami sekeluarga memanggil Ainul Baroah dengan panggilan Ah sejak dia kecil. Sepanjang tempoh bercuti, dia juga sering memasak di rumah.

“Saya tidak sangka tragedi melibatkan helikopter yang dinaikinya itu terhempas hanya selepas beberapa hari kami berpisah. Dia dan suaminya bergerak ke Sarawak pada pagi Ahad lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Baung di sini sebentar tadi.

Rogayah yang merupakan pesara guru memberitahu, Ainul Baroah seorang anak yang baik dan pendiam, selain taat kepada ibu bapanya.

Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.

“Malangnya, kesemua lima orang di dalam pesawat telah meninggal dunia seperti yang disahkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan,” katanya.-UTUSAN

The post Nahas helikopter: Ibu dedah wajah Ainul Baroah kelihatan berseri sebelum pulang ke Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved