
KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada nahas helikopter BO-105 yang mengorbankan lima individu termasuk juruterbang, berpunca daripada masalah teknikal, cuaca, faktor manusia atau faktor lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, punca sebenar kemalangan hanya dapat ditentukan selepas siasatan lengkap dan penilaian terhadap semua bukti oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Katanya, siasatan kemalangan berkenaan dijalankan secara bebas oleh AAIB.
“Sebarang penemuan yang disahkan mengenai punca kemalangan hendaklah datang daripada AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap semua bukti.
“AAIB bertanggungjawab menentukan keadaan kejadian, faktor penyumbang dan punca kemalangan, manakala CAAM memberikan kerjasama penuh serta menyediakan semua rekod berkaitan yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar di Malaysia Aviation Safety Seminar 2026 (MASS ’26), di sini, hari ini.
Norazman berkata, usia pesawat semata-mata bukan faktor penentu dari aspek kelayakan udara sekiranya ia diselenggara dengan baik mengikut program penyelenggaraan yang diluluskan serta terus memenuhi semua keperluan kelayakan udara yang ditetapkan.
“Berdasarkan rekod CAAM, Sijil Kelayakan Udara pesawat berkenaan sah sehingga 4 Ogos 2027, manakala Sijil Pendaftaran sah sehingga 28 Julai 2029,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, CAAM juga dalam memantau proses penggantungan operasi dan program pemeriksaan yang dilaksanakan pengendali pesawat susulan kemalangan membabitkan helikopter itu.
Selain itu, pihaknya turut mengesahkan semua rekod kawal selia berkaitan pesawat, pengendali serta juruterbang.
“Susulan kemalangan itu, Layang Layang Aerospace mengambil langkah berjaga-jaga dengan serta-merta menggantung operasi seluruh armada BO105 serta pesawat lain yang dilengkapi enjin siri Rolls-Royce 250.
“Saya ingin tegaskan bahawa tindakan penggantungan operasi ini adalah langkah keselamatan berjaga-jaga oleh pengendali
“Tindakan ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa enjin atau mana-mana komponen tertentu menyebabkan kemalangan,” katanya. – UTUSAN
The post Nahas helikopter: Masih terlalu awal tentukan punca – CAAM appeared first on Utusan Malaysia.






