Nahas helikopter: Semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara - Dzulkefly

LocalHealth & Fitness
10 Sep 2026 • 3:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas helikopter: Semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara - Dzulkefly
Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi susulan nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kementerian memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini. Keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM

Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu

Beliau memaklumkan pihak kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset pertahanan untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.

"KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

"Penilaian ini bertujuan untuk memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak," jelasnya.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan lima individu berada di dalam helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang.

CAAM berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Helikopter buatan Jerman itu dikenal pasti mempunyai nombor pendaftaran 9M-LLF.

Nahas tersebut mengorbankan Kapten Zainol Afiq Sham Bee, pegawai perubatan, Dr Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya yang dalam perjalanan ke Long Lellang bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly, lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal turut dinilai bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

"KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya," kata beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved