
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (8 September) negara digemparkan dengan insiden helikopter yang terhempas di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) di Sarawak.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang kemudian mengesahkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) meninggal dunia.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia
Meninggal dunia ketika misi menyelamat nyawa manusia dan sedang mencari nafkah atau bekerja adalah mati syahid
Terbaharu pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau mesra dipanggil PU Amin menjelaskan individu yang meninggal dunia sewaktu melakukan misi menyelamatkan nyawa manusia dalam masa mencari nafkah atau sedang bekerja sebagai mati syahid.
Menerusi hantaran di Threads, PU Amin mengatakan mereka boleh dimuktamadkan sebagai mati syahid serta mendoakan agar roh-roh mulia dan dipelihara Allah SWT.
“Semoga Allah kurniakan Syurga yang tertinggi buat mangsa nahas helikopter ini. Damailah kalian di bawah kasih sayang-Nya.
Pejabat Mufti WP turut jelaskan mengenai meninggal dunia ketika mencari nafkah
Perkara sama turut dijelaskan dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai sebahagian ulama’ muasarah yang menganggap mereka (meninggal dunia ketika mencari nafkah) adalah termasuk dalam syahid akhirat.
Antara ulama’ yang beranggapan sebegitu adalah:
- Shaikh Ali Jum’ah
- Shaikh Muhammad Amin bin Umar Abidin
- Shaikh al-Tahtawi
- Shaikh Abd al-Rahman al-A’simi
Berkata Shaikh Muhammad Amin bin Umar Abidin dan Shaikh al-Tahtawi:
“Asapun orang yang berusaha (mencari nafkah) untuk isteri, anak-anak serta hamba sahayanya, untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut ke atasnya dan memberi makan daripada sumber rezeki yang halal maka mudah-mudahan Allah menjadikannya orang yang mendapat ganjaran syahid di akhirat.” (Rujuk: Rad al-Mahtar, 3/165; Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 628.)
Berkata Shaikh Abd al-Rahman al-‘Asimi:
“Di antara golongan yang mendapat syahid akhirat… orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu samada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu, dan Imam al-Syuti dan Imam al-Ajhuri mengatakan bilangannya sehingga 30 golongan, dan di antaranya juga orang yang keluar mencari nafkah untuk orang di bawah tanggungannya.” (Rujuk: Hasyiyah al-Raudh al-Murabba’, 3/55).
Meninggal dunia ketika mencari nafkah mudah-mudahan tergolong mendapat syahid akhirat
Oleh itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan selepas meneliti perkara itu, pihaknya cenderung untuk memilih pandangan mengatakan orang yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah adalah mudah-mudahan tergolong dalam golongan yang mendapat syahid di akhirat iaitu mereka mendapat ganjaran syahid di akhirat kelak.
Manakala di dunia hukumnya tetap dimandikan, disolatkan dan dikafankan seperti biasa.
Keluar bekerja atau mencari rezeki adalah perbuatan amal soleh
“Hal ini disebabkan keluar bekerja mencari rezeki adalah perbuatan amal soleh yang amat dituntut oleh agama. Ia juga merupakan salah satu daripada cabang jihad iaitu berusaha mencari nafkah yang halal untuk menyara ahli keluarganya demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Hal demikian adalah dengan syarat hendaklah seseorang itu menepati syarat-syarat husul al-syahadah (yang melayakkan untuk mendapatkan ganjaran syahid) seperti berjuang dengan sabar, ikhlas kerana Allah SWT serta mengelakkan semua perkara yang boleh menghalang daripada mendapat syahid (sebagaimana yang telah disebutkan di atas),” jelasnya.
Dalam pada itu petikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyebut umat Islam perlu sedar bahawa hakikat sebenar seseorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanya diketahui oleh Allah SWT.
Ini kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja.
Terdahulu, orang ramai turut sedih dan bersimpati dengan insiden yang menimpa mangsa nahas helicopter berkenaan malah ada juga menyifatkan mereka sebagai wira kerana membawa bantuan perubatan untuk penduduk yang berada di pendalaman Sarawak.
View on Threads
View on Threads

![[VIDEO] ‘Lambaian terakhir penduduk Long Lellang kepada hero, heroin’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-22.24.00-1024x768.jpeg)




