Nahas lori imigresen: Isteri tercari-cari suami, anak-anak sudah tiada

21 Aug 2026 • 1:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas lori imigresen: Isteri tercari-cari suami, anak-anak sudah tiada
Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi, Mohd Nadzri Razali, 69, menunjukkan gambar keluarga adik perempuannya.

IPOH - Keadaan kesihatan mangsa yang terselamat dalam nahas membabitkan tiga beranak yang maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Rabu lalu, kini semakin stabil.

Norhayati Razali, 55, yang sebelum ini mengalami kecederaan parah, kini telah dipindahkan ke wad biasa selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Abangnya, Mohd Nadzri Razali, 69, berkata, perkembangan kesihatan adiknya menunjukkan tanda positif meskipun masih dalam pemantauan pihak hospital.

“Dia dah masuk wad biasa, keadaan pun semakin baik. Cuma sekarang masih di HKL dan belum tahu lagi sama ada boleh dipindahkan ke hospital lain atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, Norhayati bagaimanapun sudah dimaklumkan mengenai pemergian suami serta dua anak perempuannya dalam nahas tersebut.

Katanya, Norhayati juga dibawa melihat jenazah suami dan dua anaknya sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian, Rabu lalu.

“Dia memang dah tahu, tapi kadang-kadang dia lupa semula. Ada masa dia tanya kenapa suami tak datang melawat, anak-anak tak datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suami Norhayati, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuan mereka, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berlaku semasa empat beranak itu berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur sebelum sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai datang dari arah Wisma FGV hilang kawalan dan terbabas ke arah mangsa.

Semasa kejadian, keluarga yang datang dari Kampar itu dilaporkan bercuti untuk menziarahi ibu Shaik Mohd Firdaus di Semenyih, Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata, anak sulung pasangan berkenaan, Siti Nor Shakira, 28, semakin menerima kenyataan kehilangan ahli keluarganya.

"Walaupun masih sedih dan banyak berdiam diri, dia nampak tenang," katanya.

Menurutnya, kawasan perkuburan keluarga itu turut menerima kunjungan ramai kenalan termasuk rakan sekerja arwah dan rakan sekolah anak mangsa.

"Sejak semalam ramai yang datang ziarah di kubur," katanya.

Jenazah Shaik Mohd Firdaus bersama dua anak perempuannya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar sekitar jam 11 malam pada Rabu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved