
KUALA LUMPUR — Pemandu lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang bapa dan dua anak perempuannya dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail awal pagi semalam.
Mohd Akbar Zainol, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar di Mahkamah Majistret di sini hari ini, lapor media tempatan.
Tiga pertuduhan pertama melibatkan dakwaan bahawa beliau memandu lori Isuzu milik Jabatan Imigresen secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Norshazlin, 24, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Kesalahan itu didakwa berlaku di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, kira-kira jam 1 pagi pada 19 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd Akbar didakwa memandu kenderaan sama tanpa memberi perhatian dan penjagaan sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Nor Hayati Rozali, 55, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) akta sama memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hukuman penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kelima pula mendakwa Mohd Akbar gagal mematuhi isyarat lalu lintas dengan melanggar lampu merah di persimpangan Jalan Sultan Ismail.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman memohon ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan Mohd Akbar dibebaskan dengan ikat jamin RM60,000 bagi kesemua lima pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan beliau melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta menggantung lesen memandu dan pasportnya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes.
Peguam bela Izzat Amir Saharudin memberitahu mahkamah bahawa Mohd Akbar telah berkhidmat dengan Jabatan Imigresen selama 11 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya mempunyai seorang anak yang masih bersekolah serta bertanggungjawab menjaga ibunya yang sudah lanjut usia dan uzur di Kedah.
Kemalangan itu mengorbankan nyawa Shaik Mohd Firdaus dan dua anak perempuannya yang merupakan pejalan kaki ketika kejadian. Isterinya, Nor Hayati, mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan berlaku ketika lori Jabatan Imigresen yang kosong itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.
Kenderaan itu dilaporkan dalam perjalanan untuk membantu operasi membabitkan pendatang asing tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah, dengan menggunakan lampu suar dan siren.
Lori itu kemudian bertembung dengan sebuah Proton Saga yang sedang melalui persimpangan ketika lampu isyarat berwarna hijau, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pejalan kaki serta sebuah lagi kenderaan, Inokom Matrix.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata jabatan berkenaan telah menggantung tugas Mohd Akbar bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan berhubung kejadian tersebut.
“Tindakan segera jabatan kami adalah menggantung tugas pemandu sehingga kes ini selesai dan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam kes ini.
“JIM juga menjalankan siasatan dalaman dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – 20 Ogos, 2026
The post Pemandu Black Maria Imigresen didakwa sebabkan kematian tiga beranak appeared first on Scoop.





