Nahas lori Imigresen: Perak sedia bantuan psikososial, kewangan kepada keluarga mangsa

24 Aug 2026 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas lori Imigresen: Perak sedia bantuan psikososial, kewangan kepada keluarga mangsa
Laporan Sinar Harian mengenai keluarga tiga beranak yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Lumpur, minggu lalu.

KUALA KANGSAR - Kerajaan Perak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada keluarga tiga beranak yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, JKM akan mengadakan kunjungan susulan dalam masa terdekat bagi menilai keperluan keluarga berkenaan.

Menurutnya, antara pendekatan awal yang akan diambil adalah dengan memberi sokongan psikologi bagi membantu keluarga menghadapi situasi sukar tersebut.

"Dari segi pihak kerajaan negeri melalui JKM, kita akan buat pendekatan untuk memberi sokongan psikososial seperti kaunseling dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen

Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen

Tiga maut dilanggar lori imigresen: Polis tahan pemandu lori, pemandu kereta

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneliti keperluan bantuan kewangan memandangkan kejadian itu melibatkan kehilangan ketua keluarga.

Menurutnya, antara bantuan yang boleh dipertimbangkan termasuk bantuan bulanan melalui JKM tertakluk kepada kelayakan.

“Kita akan tengok apa bantuan yang bersesuaian, termasuk kemungkinan bantuan bulanan,” jelasnya.

Dalam kemalangan Rabu lalu, pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anaknya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, maut dalam nahas membabitkan lori JIM di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, pula cedera dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Semasa kejadian, empat beranak berkenaan beralamat dari Kampar sedang bercuti untuk mengunjungi ibu Shaik Mohd Firdaus di Semenyih, Selangor.

Anak sulung pasangan itu, Siti Nor Shakira, 28, tidak terbabit dalam kemalangan itu kerana tidak mengikuti keluarganya bercuti ke ibu negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved