
KLUANG - Seorang pelajar universiti Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga Jun lalu.
Goh Yin Zun, 19 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.
Mengikut pertuduhan, Goh didakwa memandu sebuah Mercedes-Benz secara berbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, kira-kira jam 1.19 tengah hari 1 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azam, manakala Goh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.
Nik Noratini pada mulanya menawarkan jaminan RM20,000, namun pihak pembelaan memohon jumlah lebih rendah dengan mengambil kira usia Goh serta statusnya sebagai pesalah muda.
Mohd Daud berkata anak guamnya sedang mengikuti pengajian diploma dalam bidang pengajian perniagaan di Singapura dan memberikan kerjasama kepada polis sepanjang tempoh reman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada Jun lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan Goh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 November depan bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Kemalangan pada 1 Jun lalu membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, berhampiran Penjara Simpang Renggam.
Empat mangsa yang maut ialah Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latip, 33; ibu mentua Aiman, Semek Mat Soh, 73; dan anak saudara lelakinya berusia 10 tahun, Nur Airish Syifa Sidek.
Dua lagi individu turut cedera dalam kemalangan berkenaan. - Getaran, 18 September 2026




