
KOTA TINGGI – Seorang operator kilang di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pendakwaan memandu secara melulu dan membahayakan serta menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis trafik, Ahad lalu.
Tertuduh, S. Hari Kumar, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norkhalida Farhana Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 13 September lalu lebih kurang 10.03 pagi, tertuduh sebagai penunggang motosikal Yamaha 135LC telah menunggang di Jalan Yusuf, bandar Kota Tinggi secara melulu dan membahayakan hingga mungkin menyebabkan bencana iaitu patah tangan kanan kepada Koperal Mohd Fauzi Che Zakaria.
Oleh itu, lelaki itu didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara pertuduhan kedua, tertuduh pada pukul lebih kurang 9.45 pagi bertempat di Jalan Yusuf di hadapan kedai Amysha Toy telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis yang sama semasa penjawat awam itu menjalankan kewajipannya dengan sah di sisi undang-undang sebagai penjawat awam.
Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara yang boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Shapee manakala tertuduh diwakili peguam B. Mariammah.
Norkhalida Farhana kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta menetapkan 5 Oktober untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE
The post Operator kilang di Singapura didakwa langgar polis trafik appeared first on Kosmo Online.






