Nahas RXZ: Penunggang tampil beri penjelasan, bapa remaja melecur anggap takdir

3 Aug 2026 • 11:14 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nahas RXZ: Penunggang tampil beri penjelasan, bapa remaja melecur anggap takdir

SHAH ALAM, 3 OGOS: Walaupun anaknya kini bertarung mendapatkan rawatan selepas melecur 60 peratus, Talhah Mahmud memilih menerima kemalangan yang menimpa keluarganya sebagai takdir.

Lelaki berusia 61 tahun itu berkata, penunggang Yamaha RXZ yang terbabit dalam kemalangan bersama isteri dan anak sulungnya di persimpangan empat Jalan Buluh Gading, Kuala Nerus pada Jumaat lalu telah datang menemuinya di hospital pada petang Sabtu bagi menjelaskan apa yang berlaku.

Pertemuan itu, katanya, berlangsung dalam suasana baik apabila penunggang berkenaan hadir bersama beberapa rakannya sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

"Alhamdulillah, penunggang motosikal itu sudah datang menemui saya. Dia menceritakan situasi semasa kejadian dan keadaan jalan ketika itu. Saya memahaminya kerana sering melalui jalan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah saya.

"Bagi saya, tiada siapa yang meminta kemalangan seperti itu berlaku. Saya menganggapnya sebagai takdir. Dia datang bertemu saya dan kami menerimanya. Dia sendiri turut mengalami sedikit kecederaan akibat kejadian itu," katanya memetik laporan BH Online.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, motosikal Yamaha RXZ yang dipercayai ditunggang peserta RXZ Members 8.0 bertembung dengan motosikal Honda Beat yang dinaiki isteri Talhah, Syafirah Salim, 36, bersama anak sulung mereka, Ahmad Asyraf, 13.

Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua motosikal terbakar. Syafirah yang sarat hamil tujuh bulan melecur pada kedua-dua tangan, manakala Ahmad Asyraf melecur kira-kira 60 peratus badan, terutama dari bahagian pinggang hingga ke kaki, selain mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak tangan. Remaja itu kini masih ditidurkan bagi menjalani rawatan lanjut.

Penunggang Yamaha RXZ pula dilaporkan mengalami bengkak pada lutut serta luka ringan pada tangan.

Talhah berkata, seluruh tumpuan keluarganya kini terarah kepada proses pemulihan Ahmad Asyraf yang masih panjang.

Katanya, anaknya telah menjalani prosedur mencuci luka pada kaki kanan semalam dan dijadualkan menjalani prosedur sama pada kaki kiri esok.

"Buat masa ini, saya hanya memikirkan keadaan Ahmad Asyraf dan isteri. Ahmad Asyraf mengalami kecederaan serius dari bahagian pinggang hingga ke kaki, selain kedua-dua tapak tangannya turut cedera," katanya.

Beliau berkata, doktor turut memaklumkan bahawa rawatan lanjut termasuk tampalan tisu mungkin diperlukan bagi merawat kesan melecur yang dialami Ahmad Asyraf, selain dijangka membabitkan kos yang tinggi.

Justeru, katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved