Sebelum ini, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan melecur kira-kira 60 peratus badan selepas motosikal jenis Honda Beat yang dinaikinya bersama ibunya, Syafirah Salim, 36, dirempuh sebuah Yamaha RXZ di persimpangan empat Jalan Buluh Gading, Kuala Nerus ketika peserta konvoi RXZ Members 8.0 dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan terbaharu, bapa kepada remaja berkenaan, Talhah Mahmud, 61, memaklumkan penunggang Yamaha RXZ terbabit telah datang menemuinya di hospital bagi menjelaskan situasi sebenar ketika kejadian.
Menurut Talhah, pertemuan itu berlangsung dalam suasana baik apabila penunggang berkenaan hadir bersama beberapa rakannya sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
“Alhamdulillah, penunggang motosikal itu sudah datang menemui saya. Dia menceritakan situasi semasa kejadian dan keadaan jalan ketika itu. Saya memahaminya kerana sering melalui jalan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah saya.
“Bagi saya, tiada siapa yang meminta kemalangan seperti itu berlaku. Saya menganggapnya sebagai takdir. Dia datang bertemu saya dan kami menerimanya. Dia sendiri turut mengalami sedikit kecederaan akibat kejadian itu,” katanya.
Buat masa ini, katanya, seluruh tumpuan keluarga hanya terarah kepada proses pemulihan anak sulungnya, Ahmad Asyraf, yang masih ditidurkan bagi menjalani rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan serius akibat melecur dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

Beliau turut memaklumkan anaknya telah menjalani prosedur mencuci luka pada kaki kanan dan dijadualkan menjalani prosedur sama pada kaki kiri dalam masa terdekat.
Selain itu, doktor turut memaklumkan bahawa Ahmad Asyraf mungkin memerlukan rawatan lanjut termasuk tampalan tisu bagi merawat kesan melecur yang dialaminya, yang dijangka membabitkan kos rawatan yang tinggi. Justeru, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Suami Reda Isteri Hamil Tujuh Bulan Dan Anak Melecur 60% Dilanggar Peserta RXZ - "Suspek 'Tembor' Larikan Diri"
The post “Saya Anggap Ini Takdir” – Bapa Kepada Remaja Melecur Dalam Nahas RXZ Reda, Terima Penjelasan Penunggang first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






