
SUNGAI PETANI – Suasana di sebuah pasar raya di Bakar Arang, di sini bertukar cemas apabila empat lelaki bersenjatakan senjata tajam merompak sebuah kedai emas, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 malam itu, barangan kemas dianggarkan bernilai RM700,000 hingga RM1 juta dilarikan kumpulan perompak tersebut.
Ketika kejadian, terdapat beberapa orang awam yang dikatakan cuba membantu menangkap penjenayah tersebut, namun tindakan mereka gagal selepas diugut akan dicederakan dengan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian rompakan itu pada pukul 7.20 malam tadi.
Beliau berkata, dua pekerja wanita yang berada di premis itu didatangi dua suspek bertopeng yang membawa tukul dan sebilah senjata tajam dipercayai parang sebelum memecahkan tiga cermin pameran dan mengambil barang kemas.
“Siasatan awal mendapati dua suspek masuk k dalam premis, manakala dua rakan mereka yang menunggang motosikal menunggu di hadapan pintu masuk pasar raya pada jarak 20 meter dari premis berkenaan.
“Dalam usaha meloloskan diri, terdapat beberapa barang kemas yang tercicir di atas lantai premis. Kesemua perompak sempat meloloskan diri dengan menaiki dua motosikal menghala ke Taman Sejati,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Semakan mendapati premis sama pernah dirompak sekumpulan empat lelaki pada Jun 2024.
Hanyan meminta saksi yang berada di lokasi kejadian termasuk orang awam yang cuba membantu menahan perompak supaya tampil membantu siasatan.
“Premis itu tidak mempunyai pengawal keselamatan, sementara dua pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Naik motosikal bawa RM1 juta emas appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Polong ‘bergerak’ dalam kebun getah dekat kubur di Rembau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/POLONG.jpeg)



