
SUNGAI PETANI: Pengunjung sebuah pasar raya di Bakar Arang, di sini gempar apabila empat lelaki bersenjata tajam merompak sebuah kedai emas dalam bangunan itu, malam tadi.
Premis berkenaan pernah disamun pada 2024, dengan kerugian ketika itu dipercayai mencecah kira-kira RM1 juta.
Sebaliknya pada kejadian pukul 7.20 malam semalam, pelbagai barangan kemas seperti gelang, cincin dan rantai emas yang dianggarkan berjumlah sehingga RM1 juta dilarikan perompak terbabit.
Ketika kejadian, terdapat beberapa orang awam yang cuba membantu menahan perompak itu, namun tindakan mereka gagal selepas diugut akan dicederakan dengan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dua suspek bertopeng yang membawa tukul dan sebilah senjata tajam dipercayai parang memecahkan tiga cermin pameran di premis itu.
“Dua lagi rakan mereka menunggu di atas dua buah motosikal berhadapan pintu masuk pasar raya itu yang berjarak hanya 20 meter dari premis yang dirompak.
“Terdapat beberapa barangan kemas tercicir, manakala kesemua perompak terbabit berjaya meloloskan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurut Hanyan, kedai emas itu tidak mempunyai pengawal keselamatan sementara dua pekerja premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya,” katanya. – UTUSAN
The post Kedai emas disamun buat kali kedua lesap RM1 juta appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Polong ‘bergerak’ dalam kebun getah dekat kubur di Rembau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/POLONG.jpeg)




